HM Digital

cnews@nstp.com.my

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin terhadap 17 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Hakim Azura Alwi turut menetapkan syarat tambahan tidak boleh menganggu saksi dan perlu menyerahkan pasport.

Beliau membenarkan wang jaminan dibayar secara berperingkat dengan RM100,000 dijelaskan hari ini, manakala selebihnya dibayar sebelum 11 Oktober ini.

Terdahulu, isteri bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Rosmah sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pada 8.27 pagi dengan menaiki kenderaan Toyota Alphard berwarna hitam dengan diiringi motosikal trafik dan kereta peronda polis.

Beliau yang memakai baju kurung dan selendang jingga masuk ke lobi mahkamah berkenaan dengan diiringi beberapa kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit.

Rosmah juga kelihatan tenang dan sempat tersenyum kepada wakil media sebaik tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 10:45 AM
ROSMAH ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir