Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


DUA murid Tahun Enam ditemui lemas manakala dua lagi terselamat selepas mandi di lagun Boardwalk Setiu, Permaisuri, hari ini.

Mangsa yang lemas dikenali sebagai Nor Hafizatul Nabihah Mohd Jaffar, 12, dari Kampung Rahmat dan Nur Qumairah Qistina Mohammad Nizam, 12, dari Felda Chalok Rahmat.

Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Jusoh, berkata dua lagi mangsa terselamat iaitu Nur Aisyah Syakira Ishak, 12, dan Ain Najihah Abdul Ghani, 12, kedua-duanya dari Kampung Rahmat.

Beliau berkata, mayat Nor Hafizatul Nabihah ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan lemas pada 2.30 petang ini manakala mayat Nur Qumairah Qistina ditemui pada 4 petang.

“Mayat kedua-dua mangsa yang ditemui itu diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

“Dua lagi mangsa terselamat dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, keempat-empat mangsa datang ke kawasan perkelahan itu bersama keluarga seorang daripada mangsa dan mandi bersama-sama di lagun itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada 12.33 tengah hari.

“Susulan itu seramai 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Jertih, Besut dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk usaha mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 4:47 PM
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Boardwalk Setiu, Setiu, hari ini. FOTO ihsan bomba.