Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@nstp.com.my


SEPASANG kekasih dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Khadijah S Hassan Barjenid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Firdaus Abdul Karim dan Nur Fatihah Saqira Mohd Tahir, masing-masing berusia 22 tahun.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan oleh Siti Khadijah.

Siti Khadijah dalam penghakimannya berkata, beliau tidak menerima pengakuan dan penjelasan daripada kedua-dua tertuduh dan disabitkan bersalah seperti mana dalam pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama membunuh Muhammad Azzad Suhani Hilalluddin yang berusia 27 tahun ketika kejadian, di Jalan BMU 2 hingga ke kolam loji kumbahan, Bandar Baru Merlimau Utara, Jasin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 11.30 malam, 31 Disember 2014 hingga 1 pagi, 1 Januari 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad dan Shazreen Nadia Saaban, manakala tertuduh masing-masing diwakili peguambela LK Tiew dan Mak Kah Keong.

Mengikut fakta kes, Nur Fatihah menjalinkan hubungan cinta siber dengan mangsa sejak Tingkatan Tiga, namun perkenalan berkenaan menjadi renggang selepas wanita itu melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Pada malam kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak di Perak datang ke Melaka dengan menaiki bas untuk membuat kejutan berjumpa dengan teman wanitanya itu buat kali pertama.

Nur Fatihah yang menjalinkan hubungan dengan Firdaus, menghubungi kekasih gelapnya itu dan bersetuju mengumpan mangsa di tempat kejadian.

Kerana cemburu, Firdaus menikam Muhammad Azzad beberapa kali dan mengelarnya menggunakan pisau sehingga mati.

Akhbar pada 3 Januari 2015 melaporkan, seorang lelaki disyaki warga asing ditemui mati dengan beberapa kesan dikelar dan tikaman, dipercayai dibunuh sebelum dicampak ke dalam gaung dan mayat mangsa ditemui orang awam.

Susulan itu, polis menahan dua suspek berusia 19 tahun termasuk penuntut perempuan sebuah IPT di negeri ini dan di Kandang pada 5 Januari 2015.

Mayat lelaki terbabit kemudian dikenal pasti sebagai Muhammad Azzad yang juga pekerja syarikat kontraktor Tenaga Nasional Berhad di Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 3:59 PM
Tertuduh, Firdaus Abdul Karim dan Nur Fatihah Saqira Mohd Tahir dibawa anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki di Mahkamah Tinggi, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber