FARAH menunjukkan saluran tiub di dada Raysha yang digunakan untuk memasukkan ubat. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sukar saya terima hakikat anak kami menghidap kanser Pleuropulmonary Blastoma (ketumbuhan pada tisu paru-paru). Dunia saya gelap apabila dimaklumkan harapan pulih amat tipis.

“Tapi kami kuatkan semangat dan berikhtiar supaya dia kembali pulih,” kata Farah Nur Shahirah Amran, 24, ibu Raysha Adriana Abdul Hazim, 3.

Anak bongsu daripada dua beradik itu menderita kanser Pleuropulmonary Blastoma tahap tiga dan dikesan pada awal Julai lalu.

Farah berkata, penyakit itu jarang dikesan dalam kalangan kanak-kanak atau bayi dan Raysha pesakit kelapan disahkan menghidap kanser Pleuropulmonary Blastoma di negara ini.

Raysha perlu menjalani sesi kemoterapi dua kali sebulan dan diberikan ubat menerusi saluran tiub yang ditebuk pada dada.

“Semua ini berlaku mendadak kerana Raysha dilahirkan normal dan tiada masalah kesihatan. Tapi awal Julai lalu dia mengadu sakit perut, jadi kami membawanya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan.

“Doktor beritahu Raysha hanya gastrik, tapi selepas pemeriksaan lanju, ruoa-rupanya ada jangkitan kuman pada paru-paru.

“Raysha dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor maklumkan ada ketumbuhan pada paru-paru kanan,” katanya yang menumpang di kediaman mentuanya di Kuarters Keretapi Tanah Melayu (KTM) Jalan Bangsar, semalam.

Berikutan itu, Raysha menjalani pembedahan membuang ketumbuhan yang menyekat salur pernafasannya pada pertengahan Julai lalu.

Bagaimanapun, doktor memaklumkan Raysha perlu pembedahan kedua bagi membuang baki sel kanser pada paru-parunya.

“Kami bingung mana nak cari wang untuk membiayai kos rawatan, malah bil hospital juga tertunggak mencecah RM3,000.

“Sebelum ini saya dan suami, Abdul Hazim Hamzah, 26, mengusahakan gerai makanan berhampiran kuarters KTM, tapi selepas Raysha sakit, kami berhenti untuk beri perhatian kepada anak.

“Kami mohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Saya amat berharap permohonan kami diluluskan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank milik Farah Nur Shahirah Amran yang bernombor 4719257127.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 9:52 AM