Nor Azizah Mokhtar dan Hashini Kavishtri Kannan
cnews@nstp.com.my


“SYUKUR...saya OK, Alhamdulillah,” kata Datin Seri Rosmah Mansor selepas hampir 13 jam diambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang kelihatan ceria dan masih sempat tersenyum ketika menjawab ringkas soalan petugas media yang menunggunya sejak pagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut soalan wartawan mengenai sesi mengambil keterangan terhadapnya yang berlanjutan selama hampir 13 jam sejak hadir ke ibu pejabat SPRM pada 9.50 pagi.

Sementara itu, peguam Rosmah, Datuk K Kumaraendran, berkata dia tidak boleh mengulas lanjut mengenai soal siasat dihadapi Rosmah, namun menjelaskan sesi ambil keterangan terhadap anak guamnya sudah selesai.

“Datin Seri (Rosmah) has completed giving statement to MACC (Datin Seri sudah selesai menberi keterangan kepada SPRM).

“I do not wish to give any further statements (Saya tidak merancang untuk beri apa-apa kenyataan),” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada Rosmah akan dipanggil lagi ke SPRM untuk memberi keterangan esok, beliau berkata tiada arahan sedemikian diterima daripada SPRM.

Terdahulu, Rosmah yang hadir ke ibu pejabat SPRM pada 9.50 pagi dengan menaiki PROTON Perdana berwarna gelap dilihat meninggalkan bangunan itu pada 10.40 malam dengan kenderaan sama.

Sumber berkata, kehadiran isteri bekas Perdana Menteri itu bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

Rosmah dipanggil selepas menerima notis untuk memerintah kehadiran ke ibu pejabat SPRM di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, petang semalam.

Menurut sumber lagi, tindakan memanggil Rosmah bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan ke atasnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Ini adalah kali kedua dipanggil ke SPRM untuk diambil keterangan dengan kali pertama beliau hadir pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:14 PM
ROSMAH keluar dari bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya selepas memberi keterengan hampir 13 jam. FOTO Luqman Hakim Zubir.