Mohamed Basyir
m.basyir@nst.com.my

MAHKAMAH Majistret Balik Pulau, hari ini, membenarkan suspek bunuh seorang wanita yang mayatnya dihumban ke dalam tangki najis di Jalan Sungai Burung di sini, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati, sehingga Selasa hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap dan diiringi pegawai polis, pada jam 9 pagi tadi.

Semalam, lelaki berusia 29 tahun yang menjadi suspek kes pembunuhan Allahyarham Faridah Mat Hashim itu ditahan pihak polis di hadapan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya di Jalan Air Putih di Balik Pulau, jam 8.45 pagi.

Siasatan awal mendapati, suspek yang juga anak bongsu kepada mangsa mengaku menusuk pisau pemotong sayur pada bahagian leher, sebelum mengelar leher ibunya selepas kedua-dua mereka bertengkar di dapur kediamannya, pada 19 September lalu.

Ketika kejadian, suspek juga dilapor di bawah pengaruh petrol dan mengaku menolak simen tangki kumbahan serta meletakkan mangsa ke dalam ruangan berkenaan, dengan kejadian itu dikatakan dilakukannya sendiri.

Mayat Faridah kemudian ditemui Ahad lalu, selepas mangsa dilaporkan hilang hampir seminggu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tusuk pisau ke leher ibu

'Bunuh, humban ibu dalam tangki najis' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 1:43 PM