WALAUPUN hanya menggunakan sebelah tangan, Haswandi mampu menyiapkan set meja yang menarik. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin
Mohd Sharumnisham Shahbudin
cnews@nstp.com.my

Kubang Pasu: Selepas berjaya menghasilkan set meja dan kerusi, seorang tukang kayu orang kurang upaya (OKU) kini menghasilkan almari yang menggunakan sepenuhnya kayu palet.

Haswandi Abu Hassan, 36, berkata dia hanya menggunakan imaginasi dan kreativiti sendiri untuk membuat reka bentuk dan memotong kayu palet bagi menghasilkan almari.

“Alhamdulillah, almari pertama yang saya hasilkan mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik di Facebook (FB), sehingga sebuah pusat pengajian membuat 20 tempahan almari terbabit baru-baru ini.

“Ini cabaran besar memandangkan saya hanya menggunakan tangan kiri saja untuk membuat semua kerja, pada masa sama perlu mengejar masa menghasilkan almari yang ditempah,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Tradisi Paya Pahlawan, di sini.

Januari lalu, Harian Metro pernah menyiarkan kisah Haswandi yang berjaya menghasilkan set kerusi dan meja menggunakan tangan kiri selepas tangan kanannya lumpuh akibat kemalangan sejak 10 tahun lalu.


ALMARI yang dihasilkan Haswandi. FOTO Mohd Sharumnisham Shahbudin

Haswandi yang tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dalam bidang pertukangan berkata, cabaran dihadapi tidak pernah menghalang cita-citanya menjadi usahawan perabot berjaya.

“Memang saya akui, sukar untuk bertukang dengan sebelah tangan dan menggunakan peralatan terhad, tetapi kerana niat mencari rezeki halal, saya tidak menjadikan kecacatan sebagai alasan.

“Disebabkan itu saya mengambil masa kira-kira dua hari untuk menyiapkan satu almari termasuk melakukan kerja mengecat sebelum dijual pada harga antara RM400 hingga RM500 mengikut saiz,” katanya.

Kayu palet daripada jenis pine yang banyak digunakan industri di negara ini didapati lembut dan mudah dipotong bagi menghasilkan perabot tahan lasak sehingga mula menjadi pilihan alternatif kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 9:54 AM