POLIS mengusung mayat mangsa yang ditemui dalam tangki najis. FOTO Mikail Ong
Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my

SEORANG lelaki dipercayai menusuk pisau di leher ibu kandungnya, sebelum mengelar leher mangsa di rumah mereka di Jalan Sungai Burung, Balik Pulau.

Dia kemudian menolak simen tangki kumbahan dan meletakkan mayat ibunya, Faridah Hashim, 63, ke dalam tangki terbabit.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anabalagan berkata, susulan kejadian, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di hadapan Pejabat Kesihatan daerah di Jalan Air Putih di Balik Pulau, jam 8.45 pagi.
Beliau berkata, ketika ditahan, suspek dipercayai khayal dipercayai akibat menghidu petrol.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengakui membunuh ibunya selepas kedua-duanya bertengkar di dapur rumah mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Balik Pulau, 8 pagi esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

NSTP semalam melaporkan misteri kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu, terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, petang semalam.

Mangsa dipercayai dibunuh anak kandungnya sendiri pada Rabu lalu, sebelum mayat disembunyikan di dalam tangki najis rumah mereka.

Mayat yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya kira-kira 2 petang sebelum menghubungi polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 2:53 PM