PEMERIKSAAN kesihatan dilakukan oleh pasukan perubatan Briged Negaraku di sempadan Turki-Syria. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sebuah hospital rehabilitasi akan dibina di sempadan Turki-Syria berhampiran Kilis bagi menampung keperluan mendesak berikutan kebanjiran pelarian Syria yang mendapatkan perlindungan.

Kemudahan itu akan dibangunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia, Briged Negaraku dengan kerjasama rakan gabungan dari Turki, IHH Humanitarian Relief Foundation (IHH).

Sasaran kedua-dua NGO berkenaan ialah menjalankan program pemulihan dan memberikan rawatan khusus kepada kanak-kanak pelarian yang hilang anggota badan akibat krisis di Syria.

Naib Presiden Briged Negaraku Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, ketika ini terdapat sebuah bangunan yang digunakan bagi tujuan rehabilitasi, namun kemudahan itu tidak mampu menampung jumlah pesakit.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangan bersama IHH minggu lalu, pembinaan sebuah hospital lengkap dengan kemudahan, doktor dan kakitangan sokongan perlu disegerakan memandangkan pelarian tidak mampu membiayai kos pemulihan.

“Jumlah kanak-kanak yang kudung kaki dan tangan begitu ramai. Mereka ini memerlukan anggota badan palsu dengan segera.

“Jika menerima kaki dan tangan palsu, mereka boleh belajar untuk berdikari dan meneruskan kehidupan.

“Selain rawatan dan pemulihan, hospital itu nanti akan menjadi pusat sehenti untuk merawat luka kecil,” katanya.


SEBAHAGIAN anggota palsu siap untuk diserahkan kepada pelarian. FOTO NSTP

Menurutnya, 10 doktor dan pakar fisioterapi akan ditugaskan secara bergilir-gilir setiap tiga bulan sekali di hospital terbabit.

Katanya, setakat ini pembinaan hospital berkenaan sudah berada pada peringkat akhir cadangan sebelum dilaksanakan.

“Bagi menjayakan projek ini, kami memerlukan kira-kira RM15,000 sebulan yang akan digunakan untuk membiayai operasi hospital.

“Projek itu menjadi perintis kepada usaha membantu saudara Muslim di sana yang putus harapan selepas cacat akibat siri serangan sebelum ini,” katanya.

Dr Muhammad Akmal berkata, bagi peringkat awal, pihaknya akan menyediakan seberapa banyak anggota palsu untuk kanak-kanak pelarian Syria di kem penempatan di Kilis dan ia akan diserahkan kepada mangsa menerusi misi akan datang dijadualkan awal tahun depan.

Menurutnya, orang ramai yang inginkan maklumat mengenai misi berkenaan boleh layari Facebook Briged Negaraku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 10:06 AM