WANI Kayrie. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hemtro.com.my

Meskipun tidak berjaya bergelar juara sebuah program realiti, penyanyi Wani Kayrie tidak mengalah sebaliknya nekad melangkah lebih jauh.

Wani, atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 18, berkata pemilihannya bagi mewakili Malaysia pada pertandingan Liga Dangdut Asia (LIDA) yang bakal berlangsung bulan depan di Jakarta membuka lembaran baru dalam kanvas seninya.

Menurut Wani, dia bakal menggalas tanggungjawab lebih besar kerana bakal bersaing dengan peserta dari beberapa negara lain.

“Sepanjang dua bulan ini saya fokus pada program realiti ini. Kalau ikutkan esok (hari ini) saya sudah mula sesi ‘booth camp’ bersama Pak Ngah tetapi saya minta cuti sehari. Selepas ini saya kena mula hafal lagu dangdut klasik dan tradisional pula. Bagi saya lagu klasik lagi susah untuk dibawa.

“Sejujurnya, saya yakin boleh bawa genre ini kerana meminati irama dangdut. Cuma, saya tidak tunjuk dalam industri kita. Saya sengaja simpan dulu. Lagipun, saya nak dikenali sebagai penyanyi pop dan balada dulu.

“Jadi, untuk mempersiapkan diri bergelar penyanyi dangdut, saya sudah rancang untuk mulakan di sana. Kalau berjaya, baru saya cuba di negara sendiri pula. Insya-Allah, saya terbang ke Jakarta pada 15 Oktober dan pertandingan bermula seminggu selepas itu,” katanya.

Memandangkan ia pertandingan bertaraf antarabangsa dan bakal bersaing dengan penyanyi dari negara tuan rumah yang dilihat sebagai pesaing terhebat, Wani mengakui dia perlu bersedia mental dan fizikal.

“Saya menjadikan Kak Baby Shima sebagai inspirasi dan rujukan. Dari awal saya tengok dan belajar daripadanya. Betapa penat dan kuatnya dia bertarung.

“Kalau dia boleh, kenapa tidak saya. Jadi, saya pun kena kuatkan diri,” katanya.

Wani berkata, beraksi di pentas LIDA memerlukannya untuk tampil lebih bertenaga terutama dari segi vokal.

Mengakui terdapat kekurangan dari segi nyanyian terutama ‘pitching’, Wani mengambil inisiatif dengan belajar vokal daripada penyanyi Ernie Zakri.

“Di sini, saya belajar dengan Cikgu Ernie Zakri. Insya-Allah, kalau di sana saya rancang untuk berguru dengan Kak Shiha Zikir. Saya tertarik dengannya sewaktu dia berduet dengan Syafiq Farhain. Saya dengar dia nyanyi tak ada salah. Dari segi persembahan pula mungkin Mas Idayu,” katanya.

Mengenai pelajaran, Wani mengakui belum ada perancangan menyambung pengajian selepas meraih keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia lalu.

“Tahun ini saya belum rancang sambung belajar. Insya-Allah tahun depan. Namun, kena tengok dulu, kalau ada rezeki di Indonesia, mungkin tangguh lagi.

“Pada masa sama, mak pun semakin okey apabila kerjaya saya kian berkembang. Bagaimanapun, saya tetap akan sambung belajar satu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 9:30 AM