Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


MENGAJAR secara santai dengan menggunakan bahasa ‘sempoi’ sambil menyelitkan elemen hiburan.

Itulah kaedah unik dan tersendiri digunakan seorang guru tuisyen bagi menarik perhatian dan memudahkan pelajarnya memahami subjek Matematik diajar.

Uzairi Mohd Taib, 22, menggunakan teknik itu untuk mengajar murid tahun enam dan pelajar tingkatan tiga hingga lima yang bakal menduduki peperiksaan penting.

Guru tuisyen itu berkata, pengalaman belajar bersama abang iparnya menggunakan kaedah pembelajaran interaktif ketika di bangku sekolah mengubah persepsinya terhadap Matematik yang lazimnya dianggap sukar.

“Selalunya orang anggap Matematik itu satu benda yang membosankan dan susah. Dulu saya pun sama, memang tak minat Matematik, malah keputusan setiap kali ujian atau peperiksaan memang tak berapa bagus.

“Tapi selepas belajar dengan abang ipar, persepsi saya terhadap subjek dianggap sukar itu berubah. Teknik digunakan abang ipar menyebabkan saya mula meminati dan timbul perasaan mahu menguasai ilmu Matematik.

“Perasaan seronok membantu saya memperbaiki kelemahan sebelum ini seterusnya menjadi lebih mahir dalam ilmu kira-kira ini,” katanya.


UZAIRI (depan kiri) bersama sebahagian pelajar yang mengikuti kelas tuisyen Matematik secara santai dan interaktif.

Menurutnya, kemahiran dipelajari daripada abang iparnya itu digunakan untuk membantu murid dan pelajar sekolah sekitar Lembah Klang menguasai subjek Matematik.

Katanya, kaedah itu relevan dan mengikut kesesuaian anak muda zaman sekarang yang meminati unsur dunia luar serta hiburan.

“Jadi apa yang saya buat ialah menggunakan pendekatan didik sambil hibur selain menjadi kawan dan bukan guru mereka.

“Pembelajaran itu jadi lebih interaktif dan santai apabila saya gunakan bahasa sempoi, kadang-kadang saya menari serta menyanyi mengikut kesesuaian bab terutama berkaitan formula,” katanya.

Menurutnya, dia menggunakan kaedah itu sejak sejak lima tahun lalu dan setakat ini lebih 20,000 murid serta pelajar mengikuti kelas tuisyen atau seminar dianjurkannya.

“Alhamdulillah setakat ini, cara digunakan menjadi dan lebih berkesan untuk menarik minat pelajar fokus dalam kelas.

“Memang misi saya apabila mengajar, saya mahu pelajar rasa gembira dan faham apa yang mahu disampaikan supaya mereka tidak rasa terpaksa.

“Apabila belajar dalam suasana gembira pasti akan timbul rasa minat dan lama-kelamaan mereka dapat perbaiki kelemahan dalam subjek Matematik,” katanya.

Uzairi berkata, dia kerap dijemput pihak sekolah yang menganjurkan seminar bagi berkongsi pengalaman serta teknik menjawab soalan, sekali gus mengubah persepsi pelajar tentang Matematik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:32 PM
UZAIRI (tengah) mengajar Matematik secara santai dan interaktif untuk menarik minat pelajar.