MAYAT Muhammad Hayat (gambar kecil) bersama remaja perempuan dibawa masuk ke atas lori selepas ditemui orang ramai di dalam parit di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Kangar, selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan kira-kira seminggu lalu. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


MAYAT remaja lelaki dan remaja perempuan berusia belasan tahun ditemui orang awam di dalam parit di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Kangar, hari ini.

Mangsa yang juga penuntut Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra, Muhammad Hayat Romzi, 19, dari Kuala Nerang, Kedah bersama rakannya yang tidak dikenali ditemui pada 5.30 petang bersama motosikal ditunggang mereka di dalam parit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mayat ditemui seorang lelaki dalam keadaan terapung dan lengkap bertopi keledar dan mereka dipercayai terbabit dalam kemalangan sejak seminggu lalu.

“Berdasarkan hasil siasatan awal, mereka dipercayai menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Kangar menuju ke Alor Setar.

“Motosikal mereka dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum tercampak ke dalam parit berikutan penemuan kesan rempuhan pada sebatang pokok di sebelah parit berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa mengalami kemalangan akibat ribut yang melanda Perlis, baru-baru ini memandangkan keadaan mayat sudah kembang dan berbau.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca nahas dan identiti wanita terbabit sedang dikenalpasti memandangkan ada laporan orang hilang yang dibuat di Balai Polis Jitra, dua hari lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 9:37 PM