PASUKAN penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa feri MV Nyerere yang terbalik di Tasik Victoria, Tanzania. FOTO AFP
Reuters

Ukara, Tanzania: Selepas dua hari karam, pasukan penyelamat kelmarin berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap dalam sebuah feri yang terbalik di Tasik Victoria yang mengorbankan sekurang-kurangnya 183 mangsa.

Empat penyelam tentera laut meneruskan operasi mencari dalam feri MV Nyerere yang karam pada Khamis lalu selepas mendengar bunyi yang menandakan ada mangsa yang masih hidup.

Saksi memberitahu, anggota penyelamat mengeluarkan seorang lelaki dari dalam kapal yang terbalik itu dan segera membawa mangsa ke hospital.

Bagaimanapun, keadaan mangsa tidak diketahui.

Sementara itu, stesen televisyen TBC melaporkan, mayat terus ditemui terapung di sekitar kapal berkenaan yang dianggarkan membawa lebih 300 penumpang sebelum ia karam.

Lapor TBC lagi, jumlah mangsa yang terkorban dalam nahas itu kini meningkat kepada 183 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 10:07 AM