SYAFIQ Kyle. FOTO pinography
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Pelbagai kontroversi menghimpit dirinya sepanjang tempoh enam tahun berkecimpung dalam gelanggang seni tanah air.

Namun, setiap ujian yang datang mematangkan Syafiq Kyle malah akur itulah harga yang perlu dibayar sebagai anak seni.

Berkat kesabaran dan kerja keras, Syafiq sudah mampu menarik nafas lega kerana namanya kini berada sebaris dengan pelakon Gred A sedia ada.

Mula meledak dengan drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer, nama Syafiq terus mencetuskan fenomena menerusi watak Ustaz Adam menerusi drama bersiri Nur tahun ini.

Pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 26, ini bersyukur dengan apa yang dikecapinya hari ini.

“Saya bermula dengan drama bersiri Tanah Kubur. Ketika itu rakan seperjuangan dalam pertandingan Hero Remaja seperti Fattah Amin, Saharul Ridzwan, Hafidz Roshdi, Hafreez Adam sudah dikenali ramai manakala saya masih bertatih membina nama.

“Hanya pada tahun keenam, barulah saya mampu duduk sebaris dengan barisan pelakon popular sedia ada,” katanya.

Terbaru, Syafiq mempertaruhkan filem seram Langsuir arahan Osman Ali dan bergandingan dengan Hannah Delisha yang ditayangkan di pawagam tempatan bermula 20 September lalu.

“Saya sudah menyelesaikan tanggungjawab yang diberikan termasuk mempromosikan filem ini.

“Langsuir filem pertama lakonan saya dan masih banyak ilmu yang perlu saya gali.

“Apa yang penting, impian untuk bekerja dengan pengarah filem Ombak Rindu ,Osman Ali kesampaian,” katanya.

Sebagai pelakon, Syafiq percaya dia sudah melakukan yang terbaik dan selebihnya biarlah penonton yang menilai.

“Saya tidak ada masalah untuk serasi dengan Hannah dalam Langsuir kerana kami pernah bergandingan dalam drama Mencintaimu Mr Photographer.

“Semua orang ada pandangan tersendiri mengenai filem ini sama ada positif mahupun negatif.

“Saya juga tidak terlalu berharap soal kutipan dan sambutan penonton terhadap filem ini kerana semuanya bergantung kepada rezeki,” katanya. Filem ini turut menampilkan ramai pelakon termasuk Firdaus Nadzaman, Julia Farhana, Halim Radzi, Shahkimin, John Nazri, Daaim Jailani dan Naza Manas.

Syafiq ditemui pada majlis sesi bertemu peminat di pusat karaoke di Empire Subang, Subang Jaya, baru-baru ini.

Menyusul selepas ini, Syafiq akan mempromosikan filem kedua lakonannya iaitu Gol & Gincu 2 arahan Umi Salwana Omar yang bakal menjengah pawagam tanah air pada 25 Oktober depan.

Dalam filem ini, Syafiq menggantikan watak lakonan Ashraf Sinclair dalam produksi terdahulu.

“Saya tertarik untuk berlakon dalam cerita ini kerana naskhahnya berbeza dengan mengetengahkan isu membabitkan wanita.

“Saya juga tidak bimbang soal sambutan kerana filem ini sudah ada pengikut setia sejak dulu,” katanya.

Filem Gol & Gincu 2 turut dibintangi Sazzy Falak, Ummi Nazeera, Datin Diana Danielle dan Aedy Ashraf.


SYAFIQ Kyle. FOTO pinography

Tercalon dalam dua kategori

Tidak dinafikan, Syafiq kini mengecapi zaman kegemilangannya selepas sekian lama berusaha.

Bersandarkan pakej lengkap, Syafiq menjadi rebutan ramai penerbit dan pengarah.

Tidak hairanlah, nama Syafiq turut tercalon dalam dua kategori, Pelakon TV Lelaki Popular dan Pasangan Serasi Drama pada penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (BH) edisi ke 31.

Menurut Syafiq, kejayaan dikecapi hari ini berkat sokongan keluarga, pihak pengurusan dan peminat setia yang tidak pernah jemu menyokong perjuangannya.

“Kali pertama nama tercalon dalam ABPBH ialah pada tahun lalu dan ketika itu pelakon popular Fattah Amin yang menang dalam kategori terbabit.

“Kali ini, saya tercalon lagi dan soal kalah atau menang terserah kepada undian peminat dan kelab peminat Syafiq Kyle FC yang bekerja siang malam.

“Terus terang, saya sangat menghargai semua peminat dan tidak akan berada pada tahap sekarang tanpa sokongan jitu mereka,” katanya.

Malam kemuncak ABPBH ke- 31 akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 9:52 AM