KHAIRIL bergambar semasa pendakiannya di Gunung Himalaya sebagai kenangan. -Foto Khairil Aslan Ab Rasid
Noriza Sainal
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Menemui tulang manusia ketika ekspedisi menawan tiga puncak tertinggi di India antara pengalaman menarik dilalui pendaki solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid, 43.

Katanya, tulang dipercayai tentera India itu ditemui di Dhaka Glacier Himachal pada jam 7.30 pagi, 6 September lalu.

Dia difahamkan tulang berkenaan adalah milik tentera India yang terkorban selepas pesawat pengangkut AN-12 milik Tentera Udara India (IAF) terhempas di kawasan pergunungan berkenaan.

“Meskipun ini bukan pertama kali saya menemui tulang manusia ketika melakukan pendakian, pengalaman kali ini agak unik kerana tragedi itu dilaporkan berlaku pada 1968 atau 50 tahun lalu.

KHAIRIL (dua dari kanan) semasa di puncak Stok Kangri berketinggian 6153 meter dari aras laut pada 14 September lalu. -Foto Khairil Aslan Ab Rasid

“Selain tulang saya juga menemui serpihan pesawat pengangkut berkenaan di sekitar kawasan pergunungan berkenaan,” katanya, ketika dihubungi, kelmarin.

Khairil Aslan berkata, antara yang ditemui adalah tulang dipercayai bahagian lengan, gigi, rahang dan rambut mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian tubuh mangsa dipercayai berkecai berikutan cebisan mayatnya berselerakan.

“Saya juga difahamkan ini adalah kali ketiga pendaki menemui tulang mangsa tragedi itu. Penemuan kali terakhir direkodkan pada 2003, jadi saya berasa amat terkesan.

“Kami turut memaklumkan penemuan itu kepada pihak berkuasa tempatan namun kawasan itu agak terpencil dan Dhaka Glacier Himachal sukar dimasuki. Mahu berhubung pun sukar kerana tidak ada liputan satelit,” katanya.

Terdahulu, Khairil Aslan berkongsi kegembiraan dan meluahkan rasa bangga kerana impiannya menawan tiga puncak, iaitu Gunung CB-13, CB-14 dan Stok Kangri selama 28 hari bermula pada 24 Ogos berjaya dilaksanakan.

CEBISAN mayat yang berkecai akibat letupan pesawat AN-12 milik tentera India yang terhempas 50 tahun lalu ditemui di Dhaka Glacier Himachal. -Foto Khairil Aslan Ab Rasid

Pendakian menerusi Ekspedisi Merdeka Himalaya 2018 itu dilakukan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sekali gus membuktikan kecintaannya kepada negara.

“Kejayaan ini bukan milik saya seorang tapi seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Selangor dan Persatuan Anak Gombak yang membantu menjayakan misi ini.

“Sepanjang pendakian memang mencabar kerana tiupan angin kuat, cuaca tidak menentu dan paling berbahaya adalah ketika melepasi Dhaka Glacier Himachal yang dianggap sebagai ‘jurang maut’ kepada pendaki.

“Kini berakhirlah pendakian tiga puncak Himalaya di utara India. Terima kasih di atas doa seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Jelasnya, misi berkenaan adalah pemanas badan dan persediaan bagi menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada tahun depan.

ANTARA serpihan pesawat AN-12 milik tentera India yang terhempas pada tahun 1968 ditemui di Dhaka Glacier Himachal. -Foto Khairil Aslan Ab Rasid

Anak jati Batu Kurau, Perak ini turut menceritakan pengalamannya berdepan dengan perubahan cuaca secara mendadak di mana pendakiannya bermula ketika akhir musim bunga di utara India selain bentuk muka bumi yang mencabar.

“Pendakian ke Summit CB-14 tertangguh pada 3 September kerana ribut namun saya berjaya sampai ke puncak berketinggian 6,045 meter dari aras laut pada keesokan hari jam 4.55 petang waktu India.

“Pendakian ke CB-14 adalah pendakian yang cukup sukar kerana keadaan puncak yang berbatu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 5:35 AM