JULIA Farhana. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ramlah Zainal

ramlah@hmetro.com.my.

Bakatnya mula digilap dalam bidang lakonan menerusi drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia pada 2015.

Selepas drama itu, pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali, Julia Farhana Marin, 24, tidak menoleh ke belakang lagi untuk menggilap bakat lakonannya.

Malah, tawaran berlakon tidak pernah putus buat Julia sepanjang tempoh tiga tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Terbaru, Julia diberi kepercayaan berlakon dalam drama bersiri 10 episod, Salon arahan Kabir Bhatia untuk saluran Viu dan ntv7.

Drama bersiri yang mula bersiaran di ntv7 bermula 17 September lalu itu dimantapkan dengan penampilan Josiah Hogan, Idris Khan dan Iman Corinne.

Menurut Julia, drama berkenaan adalah projek drama bersiri terbesarnya setakat ini.

“Ia kali pertama saya bekerjasama dengan Kabir. Saya ditawarkan watak Anna dan Maria dalam drama itu menerusi uji bakat yang berlangsung sebelum ini.

“Saya tertarik dengan watak itu yang dari segi luarannya nampak normal tetapi sebenarnya dia ada masalah mental dan psiko dalam cerita ini.

“Bagi menjiwai watak itu, saya juga menonton banyak filem Hollywood lakonan Angelina Jolie dan filem Jwanita lakonan Maya Karin,” katanya.

Mengulas babak panas pula, kata Julia, ada beberapa babak seperti bercium dalam drama bersiri itu yang pasti mencuri perhatian netizen.

“Ia membabitkan babak Anna bercium dengan David (lakonan Josiah) dalam cerita ini. Saya juga memberitahu pengarah mengenai batas yang ditetapkan dalam melakonkan babak panas itu.

“Sebenarnya pengarah menggunakan teknik kesan kamera (camera trick) supaya babak panas itu nampak seperti asli,” katanya.

Ditanya penerimaan penonton pula, Julia berkata, dia bersedia menerima apa saja kritikan daripada netizen nanti.

“Saya sedar banyak babak kontroversi dalam drama Salon. Namun, saya tidak bimbang dengan kecaman netizen kerana tahu apa yang dilakukan.

“Penonton juga perlu membezakan antara diri saya dengan watak Anna dalam cerita ini yang berasal dari United Kingdom,” katanya.

Memilih untuk berlakon

Selepas tiga tahun berlakon, Julia mengakui sampai masanya dia lebih memilih dari segi naskhah ditawarkan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

Selain naskhah, Julia berkata, dia juga memilih untuk bekerja dengan produksi yang profesional dari semua aspek.

“Saya selesa bekerja dengan pengarah hebat seperti Kabir dan Osman Ali. Mereka bukan saja bagus tetapi profesional ketika bekerja.

“Antara pengarah drama yang saya mahu bekerja selepas ini ialah Michael Ang,” katanya.

Mengenai filem barunya pula, Julia berkata, dia juga beraksi dalam filem genre seram Langsuir arahan Osman Ali gandingan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha yang mula menjengah pawagam tempatan bermula 20 September ini.

“Saya berdepan gangguan hingga terpaksa berubat dengan ustaz ketika melakonkan watak hantu dalam filem ini.

“Sebenarnya bukan mudah untuk melakonkan watak hantu kerana saya perlu menonjolkan emosi dari dalam,” katanya.

Antara drama dan filem lakonannya sebelum ini ialah Cinta Roller Coaster, Dorm Melati, Hantu Punya Bos dan Ku Kirim Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 9:25 AM