ARIFF Bahran. FOTO Blackpepperproduction
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kebanjiran penyanyi remaja atau kini lebih dikenali dengan istilah Budak Baru Nak Up (BBNU) dilihat menjadi fenomena baru yang mewarnai gelanggang seni tempatan.

Apatah lagi kehadiran mereka turut meraih populariti setara dengan penyanyi lebih senior malah turut berpeluang beraksi di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

Tidak terkecuali, penyanyi muda yang mencipta nama menerusi lagu Kata Akhirmu, Ariff Bahran turut berjaya mendapat tempat di hati peminat.

Meskipun kebangkitan BBNU ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, Bahran tidak melihat kemunculan mereka yang turut meraih populariti mendadak sebagai persaingan .

Sebaliknya, kata Bahran, setiap penyanyi mempunyai keunikan tersendiri dalam karya yang dibawakan.

“Setiap penyanyi mempunyai keistimewaan yang berbeza. Saya kagum apabila mereka memiliki gaya tersendiri dan suara unik.

“Lagipun, saya percaya dengan rezeki Allah dan menganggap kebangkitan BBNU sebagai satu persaingan yang sihat.

“Saya tidak pernah terfikir nama akan tenggelam atau takut berdepan situasi ini sebaliknya kehadiran mereka membakar semangat untuk terus menghasilkan ‘buah tangan’ berkualiti kepada peminat,” katanya.

Bakal tampil dengan single solo berjudul Juara Dusta, jejaka berusia 20 tahun ini berkata ramai penyanyi muda berbakat besar akan menjadi pelapis yang akan menyambung perjuangan barisan senior.

“Ramai penyanyi muda bukan saja pandai menyanyi tetapi boleh menghasilkan lagu. Ini satu kelebihan yang membolehkan mereka pergi lebih jauh,” katanya.

Rendah diri

Apabila dikenali, Bahran tidak terlepas dihimpit kontroversi. Terbaru, timbul cerita dia dikatakan sukar didekati dan sombong apabila bertemu orang tidak dikenali.

Menjelaskan perkara itu, Bahran berkata dia sebenarnya malu bertegur sapa kerana bimbang khalayak tidak mengenalinya.


ARIFF Bahran. FOTO Blackpepperproduction

“Mungkin ramai tidak tahu saya sebenarnya pemalu. Tambahan pula, saya masih ‘hijau’ dan risau tidak ramai yang mengenali.

“Bagaimanapun, saya kini sudah mula belajar untuk bergaul dengan orang ramai kerana tidak mahu disalah anggap. Sejujurnya, saya bukan sombong.

“Saya boleh berkawan dengan sesiapa saja tetapi mungkin perlu buang rasa malu jauh-jauh.

“Terima kasih kerana menegur dan saya akan cuba perbaiki kelemahan diri,” katanya.

Mahu dalami ilmu nyanyian

Selepas menyertai sebuah program realiti baru-baru ini, Bahran dapat mengutip banyak ilmu daripada barisan juri dan peserta yang mengambil bahagian.

Meskipun kecewa tidak berjaya melangkah ke pentas akhir, Bahran optimis dan tidak sesekali berputus asa.

“Apabila menyertai program ini saya mula nampak genre rock balada sesuai dengan saya.

“Sebelum ini saya tidak yakin membawakan lagu rock tetapi apabila ramai mengatakan suara saya sesuai dengan genre ini, keyakinan diri semakin bertambah.

“Selain itu, saya dapat belajar teknik nyanyian yang betul. Insya-Allah, selepas ini saya akan terus belajar,” katanya.

Bahran turut memaklumkan dia ingin mencuba nasib dalam bidang lakonan kerana mendapat tawaran baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:27 AM