Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my

“NAIM tak balik dah, nak pi terus". Itu kata-kata akhir yang diucapkan anggota polis, Konstabel Muhammad Amirul Naim Aziz, 24, kepada ibunya, Zalina Ibrahim sebelum dia maut dalam kemalangan ketika ribut di Bukit Chabang, Padang Besar, dekat Kangar malam semalam.

Zalina, 54, berkata dia tidak menyangka kata-kata itu petanda anak sulungnya akan pergi buat selamanya.

Ketika kejadian, Muhammad Amirul Naim dalam perjalanan selepas mengambil isterinya, Ku Noor Shakila Ku Sharudin, 25, dan dua anak perempuannya di rumah mentua di Padang Besar.

“Makcik ingat dia pergi mengambil isterinya di Padang Besar... dua, tiga kali dia ulang kata pergi, tak balik," katanya selepas pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Seriab, di Kangar, hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Aziz Bakar, 53, menyifatkan anaknya itu seorang yang baik dan tidak melawan kata.

“Dia selalu tolong pakcik... budak baik, tanyalah pegawai di tempat kerja dia macam mana perangai arwah.

"Dia tak pernah sakitkan hati pakcik dan makcik, kalau kita marah dia... dia tak melawan, dia diam sahaja," katanya.

Aziz berkata, dia dan isteri hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa Muhammad Amirul Naim selepas dimaklumkan pihak berkuasa pada 10 malam.

"Saya ada hubungi dia sekitar jam 9 malam tetapi tidak berjawab, sebelum dapat panggilan jam 10 malam yang memaklumkan dia sudah tiada," katanya.

Sementara itu, keadaan isteri arwah dan salah seorang anaknya dilaporkan masih kritikal selepas kemalangan berkenaan.

Selain Muhammad Amirul Naim, kemalangan membabitkan Perodua Kancil dan Nissan Murano itu turut mengakibatkan sepasang suami isteri meninggal dunia di tempat kejadian.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tiga maut kemalangan dalam ribut [METROTV]

Ribut membadai Perlis

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 3:46 PM