BAKI Zainal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Meskipun nama Baki Zainal, 35, di pentas pengacaraan kini bertaraf Asia, masih ada impian yang belum direalisasikan.

Bukan anugerah yang dikejar Baki sebaliknya peluang untuk mengacarakan program TV berbahasa Malaysia atau Inggeris di tanah air sendiri.

Ini kerana sepanjang 16 tahun Baki memperjuangkanbakat sebagai pengacara, namanya dikenali dalam kalangan penonton Cina.

Baki atau nama sebenarnya Zahamin Baki Zainal berkata dia sedar kelebihannya fasih bertutur dalam bahasa Mandarin membuka lebih ruang untuknya menembusi pasaran lain.

“Selama belasan tahun saya mengacara kebanyakan program TV yang dikendalikan di negara ini dalam bahasa Mandarin.

“Pernah terdetik di hati, moga ada peluang untuk saya mengacara program TV bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris satu hari nanti.

“Saya ingin luaskan lagi kebolehan di tanah air sendiri. Bukan tamak atau cuba mengejar populariti tetapi saya mahu mempelbagaikan bakat pengacaraan dalam beberapa bahasa,” katanya.

Menurut Baki, selain Mandarin dia juga fasih berbahasa Malaysia dan Inggeris. Jadi, tidak salah sekiranya dia mencuba.

Ujar pengacara rangkaian beli-belah dari rumah yang inovatif, CJ WOW SHOP di 8TV dan ntv7 ini, dia sebenarnya ingin mengemudi program itu dalam bahasa Malaysia di TV3 atau TV9.

“Kalau siaran di 8TV dan ntv7, sudah semestinya ia ditonton masyarakat Cina.

“Namun, kalau dapat peluang muncul dalam CJ WOW SHOP di TV3 atau TV9, dapatlah merasa berinteraksi dengan penonton Melayu.

“Saya sebenarnya pernah juga bergurau dengan penerbit minta diberi peluang mengacara CJ WOW SHOP dalam bahasa Malaysia,” katanya,

Bagaimanapun, Baki berkata yang pasti dia tetap bersyukur kerana hingga kini rezekinya tidak pernah putus.

Malah, dia teruja apabila baru-baru ini berpeluang tampil sebagai hos acara Ambang Merdeka 2018 di Dataran Merdeka.

Kata Baki, dia seronok dapat mengacara dalam bahasa Malaysia di hadapan puluhan ribu penonton.

“Ketika ditawarkan menjadi hos acara ini, saya berada di luar negara. Namun, saya sanggup terima kerana penganjur beritahu saya akan mengendalikan program ini dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Kemampuan Baki berbahasa Mandarin dan Inggeris dengan baik sudah membawanya mengelilingi negara Asia seperti Singapura, Thailand, Filipina, Hong Kong, China dan Taiwan apabila dia ditawarkan mengendalikan beberapa program.

Pengacara program Step Forward dan Let’s Cycle di 8TV ini juga pernah dipilih dua tahun berturut-turut sebagai pengacara Asian Television Awards 2016 dan 2017 di Singapura.


BAKI Zainal. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Anjur Sukan Memanah Berkuda Kebangsaan 2018

Bukan hanya seni, Baki juga punya minat mendalam terhadap dunia sukan. Selain aktif berbasikal dan menyelam, Baki menggemari sukan berkuda.

Menyedari persepsi segelintir masyarakat sukan berkuda mahal dan hanya sesuai untuk golongan berada, Baki tampil menganjurkan program Pertandingan Sukan Memanah Berkuda Kebangsaan 2018.

Dia dan sepupunya bergabung menganjurkan pertandingan itu buat julung kalinya di Taman Botani Negara, Shah Alam pada 28 hingga 30 September ini.

“Sudah lama saya dan sepupu merancang menganjurkan pertandingan ini dan perlu melakukannya secara teliti kerana ia modal sendiri.

“Malah, saya juga perlu mencari penaja yang berminat dan kelab sukan memanah berkuda yang ingin menyertai program ini. Alhamdulillah, untuk percubaan pertama ada tujuh kelab dari seluruh negara setuju menyertainya.

“Objektif saya menganjurkan pertandingan ini adalah kerana mahu memperkenalkan sukan berkuda dan memanah kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Baki, ada beberapa program sampingan menarik disediakan untuk pengunjung yang hadir nanti.

Pertandingan sukan memanah berkuda disertai atlet profesional itu diadakan secara solo dan berkumpulan untuk merebut piala Malaysia Botani Cup (MBC).

Baki berkata dia juga gembira acara itu mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Pusat Equestrian Universiti Putra Malaysia (UPM).

Malah, majlis penutup rasmi dan penyampaian hadiah dijangka dihadiri Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 11:02 AM