SAMANTHA dan Rene kini mengembara sepenuh masa menggunakan campervan mereka. FOTO NSTP
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my

Seremban: “Saya tanya suami, kalau saya mati dulu apa dia akan buat. Dia kata, akan ambil beg dan gitar lalu keluar mengembara. Saya cakap, mari kita lakukan sekarang bersama-sama.”

Itulah detik perubahan Samantha Khoo, 43, dan suaminya, Rene Sullivan, 45, hampir dua tahun lalu yang meninggalkan kehidupan selesa dengan berhenti kerja untuk mengembara sepenuh masa menggunakan campervan.

Bukan itu saja, pasangan yang sudah berkahwin selama 20 tahun itu turut menjual sebahagian besar harta termasuk premis pejabat dan perabot rumah untuk menjalani kehidupan ringkas, memudahkan mereka berkelana dari satu tempat ke tempat lain.

Samantha yang juga bekas pengarah filem syarikat produksi dan pemilik studio fotografi manakala Rene yang bekerja sebagai komposer muzik dan memiliki syarikat sendiri, menutup sepenuhnya perniagaan mereka awal tahun lalu.

Menggelarkan diri 24 Hour Travellers, Samantha berkata, perbualan spontan itu rupa-rupanya mendedahkan keinginan kedua-duanya untuk hidup dengan bebas meneroka dunia tanpa terikat dengan komitmen pekerjaan.


VAN yang diubah suai untuk pengembaraan. FOTO NSTP

“Kami tidak menyesal bekerja selama ini kerana hakikatnya pekerjaan itu membolehkan kami mengumpul wang yang cukup untuk membuat keputusan drastik seperti ini.

“Selama ini seperti orang lain, kami sentiasa bimbang tidak mempunyai wang mencukupi untuk menampung hidup dan komitmen setiap bulan jika tidak bekerja.

“Namun kini kami sedar kami tidak perlukan terlalu banyak wang seperti yang disangka.

“Selama ini, kami menggunakan banyak wang untuk perkara yang bukan keperluan termasuk membeli pakaian dan perabot selain mengekalkan gaya hidup,” katanya kepada Harian Metro.


CAMPERVAN perlu diselenggara bagi memastikan perjalanan selamat. FOTO NSTP

Katanya, kehidupan mereka kini lebih tenang dan menjimatkan berikutan penurunan kos perbelanjaan harian serta bulanan disebabkan tidak perlu membeli banyak barang keperluan rumah atau pakaian baru.

“Kehidupan sekarang ringkas, kami belajar membezakan antara keperluan dan kehendak.

“Kami tidak perlukan banyak barang atau pakaian dan bersyukur dengan apa yang ada. Kami lebih menghargai perkara kecil dalam hidup termasuk air dan elektrik,” katanya.


RUANG tidur dalam campervan yang selesa. FOTO NSTP

Samantha berkata, selepas berhenti kerja, mereka membeli sebuah van Toyota LiteAce Premio terpakai sebelum mengubahsuainya menjadi campervan dilengkapi bekalan elektrik tenaga solar, ruang tidur, kabinet barang dan dapur kecil.

Katanya, selepas beberapa bulan, mereka memasang set khemah rooftop tent di atas bumbung van berkenaan sebagai alternatif tempat tidur yang lebih luas dan selesa terutama apabila berkhemah di kawasan pantai atau tepi sungai.

“Gaya hidup minimalis dan mengembara menggunakan campervan membuatkan kami lebih menghargai alam semula jadi yang indah.

“Kami juga menikmati kebebasan tanpa perlu terkejar-kejar untuk kembali melakukan rutin pekerjaan seperti sebelum ini,” katanya.


KEMUDAHAN termasuk dapur yang disediakan dalam campervan. FOTO NSTP

Sementara itu, Rene ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai pengembaraan berkata, mereka biasanya berkhemah di tempat yang mempunyai kemudahan tandas dan bekalan air namun turut membawa tandas mudah alih jika keadaan memerlukan.

Rene berkata, mereka merancang mengembara menaiki campervan itu menggunakan jalan darat ke London tidak lama lagi dan kini dalam proses membuat persediaan menghadapi perjalanan jauh itu yang mungkin mengambil masa sehingga enam bulan.

“Kami mahu menikmati sepenuhnya perjalanan dan pengembaraan itu dengan singgah di mana-mana tempat atau negara yang disukai dan meluangkan masa yang lama di situ,” katanya.


AKSESORI tambahan kenderaan campervan. FOTO NSTP

Katanya, mereka aktif mencari dana untuk perjalanan itu melalui platform dalam talian termasuk YouTube di www.youtube.com/c/24HourTravellers, Patreon (https://www.patreon.com/24HourTravellers), Facebook (www.facebook.com/24htravellers/) dan laman web (www.24htravellers.com).

Katanya, platform terbabit juga digunakan untuk berkongsi kisah pengembaraan selain aktiviti campervan di Malaysia yang kini semakin mendapat perhatian terutama golongan yang mahu menikmati percutian lebih bebas, mencabar dan menjimatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 10:49 AM