ANGGOTA polis menenangkan Abdul Latif Awang Kecik, 62, yang sedih di sisi jenazah isterinya, Sarifaf yang maut dalam kemalangan di Kilometer 2.5, Jalan Dungun-Durian Mentangau, hari ini. Gambar kecil, Sarifaf. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


NENEK maut manakala dua cucu parah dan seorang lagi kritikal selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2.5, Jalan Dungun-Durian Mentangau, dekat Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 5.15 petang itu, Sarifaf Ali, 58, meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucunya, Muhammad Dinie Khalish Mohd Shamrizal, 7, dilaporkan kritikal.

Dua lagi cucunya, Awang Kucik Zarkoni Mohd Shamrizal, 9, dan Fatin Hanani Mohd Shamrizal, 11, cedera parah.

Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki dari arah Dungun ke Durian Mentangau terbabas selepas melalui satu selekoh.

Kereta terbabit dikatakan berpusing dan memasuki laluan kanan jalan lalu merempuh motosikal dinaiki empat beranak berkenaan.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang parah di bahagian kepala dan mengalami kecederaan dalaman maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian nenek terbabit dalam perjalanan mengambil semua cucunya itu yang bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Durian Mentangau.

“Jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 9:09 PM