KEADAAN bas ekspres yang remuk teruk selepas bergesel dengan treler dalam kemalangan, hari ini. FOTO Tular Media Sosial
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@nstp.com.my


TIGA penumpang maut, manakala 14 cedera apabila bas ekspres dinaiki remuk teruk selepas bergesel dengan sebuah treler di Kilometer 138 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Pagoh, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Lim Siew Kee, 61, dan Lai Moon Ching, 25, serta seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.

Katanya, ketika kejadian 2.30 pagi, bas berkenaan membawa 25 penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba bas yang berada di lorong kanan bergesel dan merempuh kanan badan treler hingga menyebabkan separuh bahagian sebelah kiri bas rosak teruk.

“Akibat kemalangan itu, tiga penumpang bas tercampak keluar dan seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan di zon kuning,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat dan HPSF.

Katanya, pemandu pertama bas itu berusia 54 cedera, manakala pemandu kedua, 55, dan pemandu treler, 28, tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:45 PM