ADIRA (kiri) selamat melahirkan anak lelaki secara pembedahan. FOTO Instagram Adira
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Adira selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.8 kilogram secara pembedahan di pusat perubatan di Sungai Buloh, 10.21 pagi, hari ini.

Suami Adira, Datuk Seri Adnan Abu ketika dihubungi Harian Metro berkata, Adira bersalin awal seminggu daripada tarikh jangkaan doktor.

"Adira dimasukkan hospital 8 pagi tadi. Selepas menjalani pemeriksaan, sudah terdapat bukaan. Namun, doktor memaklumkan perlu menjalani pembedahan kerana anak dalam kandungan besar.

"Doktor tidak mahu mengambil sebarang risiko. Tambahan pula, Adira bertubuh kecil. Dalam masa sama, Adira juga bersetuju untuk melalui proses pembedahan sekali lagi.

"Apa yang penting, semuanya berjalan lancar. Isteri dan anak dalam keadaan sihat. InsyaAllah, Adira akan berada di hospital dalam dua atau tiga hari lagi," katanya kepada Harian Metro.

Adnan berkata, doktor menasihati Adira supaya berehat daripada hamil kerana sudah dua kali menjalani proses pembedahan.

"Memandangkan anak pertama dan kedua dilahirkan secara pembedahan, jadi doktor menasihat agar berehat dulu. Lagi pun, Adira masih muda. Insya Allah, kalau ada rezeki tidak ke mana," katanya.

Ditanya mengenai nama anak, Adnan berkongsi mereka memilih nama Assan.

"Saya memang suka nama yang klasik dan 'old school'. Macam anak pertama, kami beri nama Aggrek. Jadi, anak kedua ini namakan Assan.

"Sebelum ini, anak lelaki daripada isteri pertama saya namakan Ali," katanya.

Adira, 27, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkahwin dengan Adnan di Songkhla, Thailand pada November 2015 sebagai isteri kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 2:26 PM