MAYA Karin. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Nama Maya Karin tidak perlu diperkenalkan lagi. Figura yang mendapat jolokan Primadona Filem Seram ini seakan-akan tidak tergugat walaupun industri lakonan tempatan dibanjiri pelakon muda dan baru.

Pernah menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Pesta Filem Asia Pasifik ke-49 dan dua kali pada Festival Filem Malaysia (FFM) meletakkan Maya, 39, atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke dalam kelas tersendiri.

Sepanjang hampir 20 tahun pembabitannya di layar perak, tidak keterlaluan jika dikatakan Maya kekal sebagai pelakon wanita termahal di Malaysia.

Setimpal dengan bayaran diberikan, Maya tidak pernah gagal melunaskan tanggungjawab dalam menjayakan setiap watak.

Terbaru, watak Sakinah dalam filem Munafik 2 dipersembahkan dengan baik sekali gus memperlihatkan sisi berbeza Maya.

“Saya berterima kasih kepada pengarah, Syamsul Yusof kerana menciptakan watak Sakinah yang begitu bagus. Ini antara sebab kenapa saya menerima tawaran ini. Malah, apabila saya bersetuju berlakon dalam filem ini, Syamsul yang juga penulis skrip dan pelakon utama terpaksa merombak watak Sakinah untuk menjadikannya lebih besar.

“Bagi saya, watak ini bukan biasa-biasa kerana ia sangat mencabar, apatah lagi banyak babak memerlukan kekuatan fizikal. Ia memang sangat susah terutama dari segi emosi.

“Kalau ingin dibandingkan dengan watak yang pernah dilakonkan sebelum ini, dalam filem seram ia ada kekuatan tersendiri. Watak seumpama ini bukan mudah. Dalam filem ini, membawa watak Sakinah sangat memenatkan,” katanya.

Maya berkata, watak itu berjaya menambat hati dan mendapat maklum balas positif daripada penonton wanita kerana ia memberi impak besar.

Menurut Maya, Syamsul berjaya menghidupkan Sakinah dalam setiap babak hingga ia menyentuh emosi penonton.

“Saya teruja apabila banyak maklum balas mengenai filem ini untuk watak Sakinah juga. Ramai berkata, watak ini begitu kuat hingga memberi impak kepada filem ini.

“Saya percaya dalam setiap karya penonton wanita tetap ada, tetapi kena ada watak yang menepati selera mereka. Jadi, untuk filem ini ia mendapat sokongan dalam kalangan wanita,” katanya.

Ditanya mengenai babak paling susah dijayakan dalam filem itu, Maya mengakui tidak ada yang mudah dilakonkan.

“Setiap babak perlu dilakukan dengan berhati-hati. Syamsul pula seorang yang sangat teliti. Terdapat babak saya perlu berlari dalam gua sambil mendukung anak. Ketika itu sangat penat.

“Malah, untuk babak penutup filem ini kami terpaksa lakukan selama beberapa hari. Disebabkan itu, daripada 40 hari jadual penggambaran asal terlajak hingga 64 hari. Lebih dua bulan kami bertungkus-lumus di lokasi.

“Alhamdulillah, apa yang ditayangkan adalah hasilnya. Sebagai anak seni saya seronok dan bangga apabila filem ini diterima baik dan mendapat sambutan. Walaupun ada yang mengkritik, ia perkara biasa kerana susah untuk mendapat dan menghasilkan kesempurnaan,” katanya.


MAYA Karin. FOTO Blackpepper Production

Eksklusif dalam filem

Jika dibandingkan dengan pelakon lain, Maya satu-satunya pelakon wanita yang tidak pernah muncul dalam telefilem dan drama TV.

Menurut Maya, walaupun peminat sentiasa merindui lakonannya, dia tidak akan berganjak daripada pendirian untuk terus berlakon dalam filem saja.

“Memang susah nak melihat saya di layar lebar jika tidak ada naskhah yang bagus. Saya sangat memilih dari dulu lagi. Bukan apa, peminat membeli tiket untuk menyaksikan filem lakonan kita.

“Jadi, saya tidak mahu setiap mereka datang berjumpa dan meluahkan rasa kecewa. Pada masa sama, saya tidak mahu wujud tanggapan membazir membeli tiket disebabkan kualiti filem yang tidak bagus.

“Untuk melihat saya di kaca TV pula, ia sesuatu yang mustahil. Kalau nak ubati kerinduan kena pergi panggung wayang. Kalau nak tengok di TV juga, tunggu sambutan Aidilfitri. Mesti banyak filem saya ditayangkan,” katanya.

Maya berkata, ada banyak sebab kenapa dia selesa berlakon filem berbanding drama.

“Drama jarang ‘gempak’ seperti filem. Dari segi perwatakan saya lebih puas dalam filem. Soal kewangan, saya tidak perlu risau. Bagi saya, tidak perlu orang nak tengok muka saya setiap hari. Sekali setahun sudah cukup.

“Disebabkan itu, saya selesa berlakon filem. Tidak ada sebab untuk saya masuk drama.

Lagipun, tidak dinafikan drama kita terlalu ‘simple’ dan mengetengahkan tema sama saja. Untuk dunia drama menarik perhatian saya, kena berikan sesuatu yang lain dari segi watak dan jalan cerita seperti drama Juvana dan Nur Kasih,” katanya.

Diusik adakah sebab harga diletakkan terlalu tinggi, Maya menafikan perkara itu.

“Saya bukan mahal sangat, tetapi mahal dari segi kualiti. Permintaan saya tinggi daripada isi kandungan,” katanya yang teringin melakonkan watak srikandi dan aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 9:17 AM