Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


ISTERI kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu, ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh suaminya itu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia lingkungan 40-an.

Siasatan terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, wanita itu yang memakai baju-t berwarna hitam tiba di mahkamah pada 11 pagi dan dia yang diiiringi anggota polis keluar dari bilik reman pada 12.20 tengah hari.

Dia yang juga Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu kelihatan muram di dalam bilik reman.

Sebelum ini, suspek pernah menuduh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat dakwaan tidak benar mengenai kes kematian mengejut suaminya yang kemudian diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Sementara itu, pihak JBPM keputusan yang diumumkan adalah berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Media melaporkan telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Berita berkaitan:

Isteri CEO Cradle Fund bidas JBPM

CEO Cradle Fund dibunuh...?

Bomba ambil telefon bimbit mangsa

'Telefon meletup masa dicas..'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 1:55 PM