ELI memakai kaki palsu selepas kaki kanannya kudung akibat terkena jerat dawai pemburu haram. FOTO Nazirul Roselan
Nazirul Roselan
cnews@nstp.com.my

Temerloh: Seekor anak gajah betina yang kudung kaki kanan selepas terkena jerat dawai pemburu haram, kini menjadi tarikan utama pengunjung di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah, Lanchang di sini.

Penderitaan anak gajah yang diberi gelaran Eli berusia dua tahun itu mendapat perhatian dan diberikan penjagaan rapi oleh kakitangan PKGK seperti menatang minyak penuh.

Nama Eli dipilih kerana tempat asal haiwan liar itu ditemui di Jeli, Kelantan dan ia ditempatkan di PKGK sejak awal tahun lalu.

Penjaganya, Mohamad Suri Aziz, 41, berkata, menjaga Eli bukan tugas mudah kerana pada peringkat awal, anak gajah itu sukar menyesuaikan diri dengan kaki palsu yang disumbangkan Universiti Malaya.

“Malah, Eli juga perlu menyesuaikan diri dengan kawasan baru di pusat ini. Tetapi apabila sudah lama di sini, Eli semakin selesa dan suka dimanja serta dibelai.

“Ia juga suka bermain kerana masih kecil dan makanan kegemaran Eli adalah tembikai,” katanya.


ELI juga gemar menikmati tembikai selain rumput nepial. FOTO Nazirul Roselan

Mohamad Suri berkata, anak gajah itu menjadi perhatian lebih 2,000 pengunjung sempena sambutan Hari Gajah Sedunia 2018 semalam dan Eli selesa dengan kunjungan orang ramai.

Katanya, Eli masih menyusu dan 20 liter diperlukan setiap hari untuk keperluan anak gajah itu.

“Kami sediakan susu formula enamal dengan campuran gula merah. Ia minum empat kali sehari, iaitu setiap sesi lima liter.

“Menampung keperluan seleranya, kita juga beri makan rumput nepial,” katanya yang mengakui Eli mesra dan mudah didekati pengunjung kerana usianya masih muda.

Pusat konservasi itu dibuka pada 1989 dan setakat ini menempatkan 30 gajah termasuk dewasa.


MOHAMAD Suri (kanan) memberi susu bercampur gula merah kepada Eli. FOTO Nazirul Roselan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 9:53 AM