Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


POLIS narkotik Bukit Aman merampas syabu 1,066 kilogram bernilai RM54 juta dalam serbuan di stor di Jelutong, Georgetown, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar di negara ini.

Menurutnya, serbuan terbabit dilakukan 4 petang dan pihaknya menemui dadah berkenaan yang ketika itu disimpan dalam lori.

“Susulan daripada itu kita turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Kita percaya dadah terbabit dibawa masuk dari negara jiran kemungkinan melalui jalan darat atau laut ke negeri ini,” katanya.

Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk dieksport ke luar negara oleh sindiket dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut.

“Pulau Pinang dijadikan sebagai hub penyeludupan dan pengedaran dadah sebelum ia ditransit ke negara lain.

“Ini kerana negeri ini mempunyai laluan masuk melalui laut, darat serta udara dan ia memudahkan sindiket untuk menyeludup dadah masuk ke sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 1:38 PM
MOHMAD Salleh (lima kiri) bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan Arumugam (empat kiri) menujukkan sebahagian dadah syabu yang dirampas. FOTO Ramdzan Masiam