Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my.

Kemajuan masa kini menuntut masyarakat manfaatkan penggunaan teknologi secara optimum dalam kehidupan seharian.

Perkara sama juga perlu dilakukan terhadap industri pengangkutan awam di Malaysia termasuk teksi apabila pemandu teksi kini dikatakan berdepan kesukaran berikutan saingan sengit selepas kemunculan perkhidmatan e-hailing seperti Grab.

Pemandu teksi perlu menerima hakikat bahawa penggunaan teknologi terkini adalah perkara wajib bagi memastikan perkhidmatan berkenaan kekal relevan.

Wartawan SYAZWAN MSAR menemu bual Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) Mohd Syahrir Abdul Aziz bagi berkongsi butirannya.


MOHD Syahrir. FOTO Hafiz Sohaimi

Melihat kepada keadaan semasa seharusnya industri teksi manfaatkan teknologi seperti aplikasi e-hailing untuk meningkatkan lagi perkhidmatan. Adakah ia berkesan untuk meningkatkan pendapatan pemandu teksi?

Teknologi adalah kaedah yang bagus yang harus dipakai oleh pemandu teksi. Menggunakan teknologi seperti e-hailing memudahkan orang ramai kerana kebanyakan mereka tidak mahu lagi tahan atau menunggu teksi di tepi jalan.

Budaya berkenaan sudah berkurangan kerana pengguna lebih selesa membuat tempahan menerusi dalam talian seterusnya mengetahui senarai harga yang ditetapkan sebelum bersetuju menggunakan perkhidmatan teksi itu.

Jika masih lagi nak guna acara tradisional pasti pemandu teksi ketinggalan dan kita mengambil kaedah Grab yang mudah mendapatkan pelanggan menerusi tempahan dalam talian.

Terdapat pemandu teksi yang masih berminat menggunakan kaedah konvensional iaitu penggunaan meter untuk mengenakan caj kepada penumpang. Adakah kaedah berkenaan masih lagi relevan penggunaannya?

Kita kena lihat keadaan semasa penumpang tidak mahu lagi menggunakan meter kerana ia adalah sistem lama iaitu mereka tidak lagi mahu naik teksi dan dikenakan tambang RM3 manakala untuk ke destinasi tertentu pula terpaksa meneka tambang yang bakal dikenakan pula.

Secara psikologi ia memperlihatkan penumpang tidak selesa dengan penggunaan meter. Pengguna sekarang nak selesa kerana mereka beranggapan mungkin menjadi mangsa penipuan apabila menggunakan perkhidmatan terbabit.

Adakah menghapuskan penggunaan meter kemungkinan akan menyusahkan pengguna pula untuk mengetahui atau mendapatkan harga tambang dengan lebih tepat apabila menahan teksi di tepi jalan?

Perkara itu tidak menjadi masalah atau menyusahkan pengguna kerana kita boleh gunakan aplikasi berkenaan untuk menentukan harga untuk ke destinasi tertentu.

Sebagai contoh jika mahu ke KLSentral dan ada penumpang tahan teksi di kawasan Bangsar, pemandu teksi boleh terus menetapkan aplikasi menerusi e-hailing berkenaan seterusnya mengetahui harga untuk jarak berkenaan.

Sama saja jika kita menempah teksi cuma perbezaannya adalah penumpang menahan pengangkutan awam itu di tepi jalan saja dan caj yang dikenakan sama tak ada penambahan melainkan jika aliran trafik sesak atau waktu puncak.

Bagaimana penggunaan e-hailing ini dapat mengelak daripada pemandu teksi melakukan penipuan tambang atau menganiayai penumpang?

Senang saja kerana penumpang juga boleh memeriksa tambang berkenaan menerusi aplikasi terbabit dan boleh menolak menggunakan teksi berkenaan jika ada unsur penipuan. Kita tidak mahu ada masalah hingga menyebabkan pengguna memandang negatif kepada pemandu teksi dan untuk itulah e-hailing harus diguna pakai bagi memastikan tiada lagi unsur penipuan tambang teksi hingga aniaya penumpang.

Sama saja kaedah dengan Grab kerana segalanya mudah dan informasi boleh diperoleh menerusi aplikasi yang disediakan itu.

Adakah penggunaan e-hailing akan diterima oleh pemandu teksi yang kebanyakannya sudah berusia dan lebih selesa menggunakan kaedah lama untuk mengenakan caj kepada penumpang?

Teknologi harus dipelajari dengan kaedah yang betul bukan suka hati untuk diadaptasikan lebih-lebih lagi tidak semua pemandu teksi golongan muda seterusnya mudah menerima pembaharuan.

Saya percaya jika beri latihan dan kursus yang betul dan percaya tidak akan ada masalah kerana jika tidak mahu menggunakan teknologi kemungkinan besar mereka akan ketinggalan.

Adakah perlu organisasi atau syarikat yang menguruskan aplikasi berkenaan secara betul dan konsisten bagi mengurangkan masalah pada masa akan datang atau menyerahkan kepada kerajaan untuk menguruskannya?

Kita perlukan transformasi dalam industri teksi dan antaranya adalah penggunaan teknologi kerana melihat kepada e-hailing sebenarnya bukannya rumit untuk digunakan kerana ia menggunakan kaedah pengesan kedudukan, menguruskan tempahan atas talian dan menyusun pemandu dengan sistematik.

Pemandu teksi yang menggunakan e-hailing ini perlu bergantung kepada syarikat atau organisasi yang serius mampu menguruskan kaedah terbabit supaya boleh digunakan dengan betul tanpa sebarang masalah.

Bagaimana pula dari segi tambang adakah boleh bersaing dengan Grab yang dikatakan menawarkan harga yang lebih murah kepada orang ramai?

Kebanyakan perniagaan mempunyai persaingan, malah ada juga budaya cantas-mencantas. Oleh itu kerajaan perlu berperanan dengan mendaftarkan syarikat e-hailing ini supaya boleh mengambil tindakan susulan jika didapati melanggar peraturan. Jadi masalah harga yang tidak masuk akal dan tidak berlaku adil dapat diatasi seterusnya mewujudkan persaingan sihat antara pemandu teksi serta pengangkutan awam lain.

Perkara penting yang harus dititikberatkan adalah keselesaan dan keselamatan pengguna kerana jika tambangnya murah namun tidak berdaftar atau tiada insurans lengkap sekali gus boleh mengundang pelbagai masalah lain hingga menyusahkan pengguna.

Oleh itu, peranan kerajaan penting dalam menetapkan harga tambang seterusnya tiada pihak yang teraniaya kerana semuanya sama.

Adakah keadaan teksi yang uzur dan buruk menyebabkan pengguna turut tidak berminat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu?

Pelaksanaan transformasi pengangkutan teksi perlu sejajar dengan mengubah teksi lama kepada yang lebih selesa dan cantik sekali gus menarik minat orang ramai.

Keadaan kenderaan juga berperanan dalam hal ini dan untuk itu kereta lama tidak akan dipilih untuk menggunakan aplikasi ini demi keselesaan pengguna.

Oleh itu, kami tidak minta untuk mendapatkan geran cuma mahu kerajaan membantu dengan memudahkan pinjaman pembelian kenderaan baharu oleh pemandu teksi.

Adakah penggunaan aplikasi e-hailing dan transformasi pengangkutan teksi bakal memberi nafas baharu kepada industri berkenaan?

Sebagai pemandu teksi tidak perlu lagi mengharapkan bantuan semata-mata tanpa berusaha melakukan perubahan iaitu bersedia menggunakan segala peluang yang ada untuk memaksimumkan pendapatan sebagai pemandu teksi.

Apa yang saya lihat jika kaedah ini dilaksanakan dengan jayanya pasti pengangkutan teksi menjadi antara pilihan utama pengguna seperti sebelum ini seterusnya dapat meningkatkan lagi pendapatan harian pemandu teksi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 6:00 AM