GAMBAR hiasan
Oleh Mohd Nazllie Zainul
cnews@nstp.com.my


WANITA warga emas mati dipercayai dibunuh suaminya sendiri, semalam.

Mangsa berusia 67 tahun itu pada mulanya didakwa dijumpai tidak sedarkan diri oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, ketika suspek baru saja pulang pada 2 petang.

Wanita itu dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh suami bersama abang serta rakan suspek bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 7.26 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pemeriksaan awal terdapat kesan lebam pada bahagian badan mangsa, sekali gus siasatan awal diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Bagaimanapun, selepas bedah siasat dijalankan pagi hari ini, pegawai perubatan Jabatan Forensik HQE mendapati punca kematian disyaki akibat perbuatan jenayah.

“Oleh itu, siasatan kes diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Habibi berkata, susulan itu suami mangsa berumur 56 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, polis akan mengemukakan permohonan perintah tahanan reman terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang sapu, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 10:38 PM