PELAKON Hairul Azreen dan Ammar Alfian pada majlis pelancaran filem Paskal The Movie di GSC Signatures The Gardens. Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Suzianah Jiffar
suzianah@nstp.com.my


PIHAK berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan memanggil pelakon filem PASKAL, Hairul Azreen dan Ammar Alfian untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Ia susulan kenyataan Hairul yang mendakwa dia dan Ammar hampir menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem itu di kawasan perairan Semporna, baru-baru ini.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, kenyataan kedua-dua pelakon terbabit akan dirakamkan di Ibu Pejabat ESSCOM di Lahad Datu.

"ESSCOM akan memanggil kedua-dua pelakon itu untuk rakam keterangan mereka dalam masa terdekat ini di Ibu Pejabat ESSCOM," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, Hazani menyifatkan kenyataan Hairul yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem PASKAL sebagai tidak berasas.

Hazani dilaporkan berkata, sepanjang penggambaran filem itu di kawasan yang dirujuk sebagai pelantar Tun Sharifah Rodziah (TSR), pelakon serta kru produksi disertai oleh pasukan keselamatan terlatih iaitu Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan meminta semua pihak berhati-hati membuat kenyataan terutama membabitkan isu keselamatan negara.

Sebelum ini, Hairul mendakwa dia dan Ammar nyaris menjadi sasaran lanun ketika penggambaran filem PASKAL di Semporna, pertengahan tahun ini.

Hairul mendakwa, ketika kejadian, hanya dia dan Ammar masih berada di kawasan pelantar minyak selepas menyelesaikan beberapa babak sebelum ada rakan membisikkan pihak berkuasa sebenarnya sudah mendapat maklumat bahawa kumpulan lanun mahu menjadikan mereka sasaran penculikan.

Berita berkaitan:

'Tak berasas... jangan buat publisiti murahan - ESSCOM'
'Lanun nak culik kami berdua!'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 2:49 PM