Ammar (kiri) dan Hairul (kanan) hampir menjadi mangsa culik di Sabah. FOTO NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PELAKON Hairul Azreen dan Ammar Alfian melalui detik cemas apabila hampir menjadi sasaran culik lanun ketika menjalani penggambaran filem Paskal di Semporna, Sabah.

Hairul, 30, berkata, pendedahan itu disampaikan kru produksi selepas selesai penggambaran di sebuah pelantar minyak di tempat terbabit, beberapa bulan lalu.

"Pada mulanya, kru memberitahu saya dan Ammar tidak boleh meninggalkan pelantar dengan alasan tiada duit bayar hotel di Kota Kinabalu.

"Kami sepatutnya kembali ke bandar selepas penggambaran selesai. Bagaimanapun, kru hanya menceritakan perkara sebenar selepas itu," katanya, hari ini.

Biarpun ketakutan, Hairul memberitahu bersyukur segalanya berjalan lancar sepanjang berada di sana.

"Kami dimaklumkan menjadi sasaran kerana lanun mendapat tahu ada pelakon di pelantar itu. Sepanjang di sana, kami diiringi anggota keselamatan," katanya.

Filem Paskal arahan Adrian Teh mengetengahkan pembabitan Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel yang ditawan lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Karya menelan kos pembikinan sebanyak RM10 juta itu turut memaparkan kejayaan PASKAL dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998.

Filem itu turut dibintangi Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifulllah, Theeban G dan Hafizul Kamal.

Paskal akan menemui penonton di pawagam pada 27 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 7:10 PM