Syamsul tidak merancang untuk mendapat anak. FOTO IG Puteri Sarah
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON, Puteri Sarah yang kini hamil anak kedua mengakui dia dan suami pengarah Syamsul Yusof tidak pernah merancang dalam soal cahaya mata.

Sarah, 33 atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, mereka menyerahkan perkara itu kepada rezeki Allah SWT.

"Anak sulung sekarang sudah berusia setahun empat bulan. Apabila disahkan hamil lagi, saya dan suami sangat gembira dan bersyukur.

"Saya kalau boleh memang nak anak rapat. Lagi cepat lagi bagus sebab umur makin meningkat. Jadi, pada usia muda ini selagi ada rezeki saya terima. Saya dan suami tidak merancang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sarah yang kini hamil tiga bulan, kesibukan kerjaya suaminya tidak memberikan tekanan untuknya dalam menguruskan rumah tangga.

"Walaupun Syamsul sibuk, saya kena pandai bahagikan masa terutama dengan anak. Saya akan pastikan dia selalu dengan anak dan tidak terlalu kerap tinggal anak.

"Saya tegas dalam perkara ini. Disebabkan itu, saya beritahu Syamsul biar saya urus mengenai masa. Kalau tidak, memang tidak akan nampak muka Syamsul.

"Dalam masa sama, saya mahu anak rapat dengan kami berdua. Jadi, selain masa di rumah saya akan cari waktu untuk kami pergi bercuti. Kalau bukan di luar negara dalam negara pun okey. Tidak perlu ambil masa lama kerana apa yang penting adalah kualiti masa itu," katanya.

Sarah juga berkongsi, setiap pagi dia akan memastikan Syamsul bermain bersama anak sebelum keluar bekerja.

"Jika Syamsul terbabit dengan penggambaran di luar ibu kota, saya selalu pesan supaya membuat panggilan video atau menghantar video. Saya nak anak tengok muka bapanya setiap hari.

"Macam sekarang, anak sudah pandai nak mengikut Syamsul pergi kerja. Dia akan menangis. Jadi saya kena tenangkan dan beritahu bapa kena kerja," katanya.

Sarah dan Syamsul berkahwin pada Mac 2014.

Mereka dikurniakan anak sulung, Syaikhul Islam pada April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 2:01 PM