Mohd Husni Mohd Noor
cnews@nstp.com.my

SEORANG timbalan ketua pengarah (TKP) bergelar Datuk serta enam pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini untuk ditahan reman berhubung kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membabitkan jutaan ringgit.

Difahamkan, kesemua suspek masing-masing menjawat Gred 44 hingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan berkhidmat di bahagian penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sumber SPRM berkata, kesemua mereka ditahan di Kompleks B, JPM dan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masing-masing tengah hari semalam dan malam tadi.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di Kompleks Istana Kehakiman, di Putrajaya, kira-kira jam 9.05 pagi diiringi pegawai SPRM.

Sebelum ini, seramai 15 pengawal keselamatan di JPM ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU-14 berjumlah RM3.5 juta.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 12 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 9:57 AM
SUSPEK dibawa ke Mahkamah Majistret, Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor