LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

“Saya ingatkan patung,” kata Mohd Razali Mohd Zain, 59, yang menemui mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh dengan keadaan kaki dan tangan terikat dekat tepi Sungai Klang, Kampung Semarak, PJ3, Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, dia bersama tiga anak lelakinya memancing di kawasan berkenaan.

Katanya, tidak lama kemudian, tali pancingnya tersangkut pada plastik yang hanyut.

“Saya turun ke tepi sungai untuk melepaskan tali. Ketika itu, ternampak objek seperti patung.

“Saya menghampiri patung itu, namun mendapati ia sebenarnya mayat lelaki dengan kaki dan tangan terikat,” katanya.

Mohd Razali yang sering memancing di lokasi berkenaan berkata, sebelum kejadian, dia tidak menghidu bau busuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati mayat berkenaan diikat dengan batu konkrit dengan berat dianggarkan 15 kilogram pada bahagian perut.

"Justeru, ada dua kemungkinan sama ada mayat di buang di lokasi lain sebelum hanyut ke sini.

“Atau memang dibuang di lokasi ini kerana badannya diikat dengan batu yang menyukarkannya untuk hanyut,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

“Ia memandangkan keadaan mayat yang sudah mereput.

“Polis percaya lelaki itu dibunuh sebelum dibuang ke sungai ini, sejak tiga ke empat hari lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Katanya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat terikat dalam sungai

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:54 PM