SIKINOR menunjukkan batu semeter dipercayai kubur Tuluhong di Kampung Namadan, Kiulu. Gambar kecil, lakaran Tuluhong hasil imaginasi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my

Tuaran: Setiap kawasan pasti ada hikayat mitos lama namun bergantung sama ada mempercayai atau sebalik. Penduduk Kampung Namadan, Kiulu memiliki mitos kewujudan kubur Tulohong.

Tulohong dikatakan seorang lelaki tinggi lampai mempunyai ketinggian luar biasa hingga mampu memetik buah bulunu tanpa menggunakan galah dan menghentikan arus sungai menggunakan dua tapak kakinya.

Cerita itu diturunkan kepada generasi ke generasi penduduk daerah Kiulu di sekitar Kampung Namadan, Kampung Kitapol, Kampung Sinansang, Kampung Bambangan dan Kampung Togop, Tamparuli.

Penduduk Kampung Namadan, Sikinor Gunu, 48, menjejaki kubur yang ditanda tiga batu sungai untuk mengupas cerita atau mitos lebih lanjut.

Katanya, Tulohong pernah dilantik sebagai Huguan Siou apabila memimpin penduduk mempertahankan kampung daripada ancaman musuh.

“Kisah Tuluhong pelbagai versi dan sumber maklumat lain boleh didapati di Kampung Minansad, Lankon Kota Marudu, Kampung Tempasuk, Kota Belud, Kampung Pinolobu Kota Belud dan sekitar Kudat.

“Namun, apa yang menjadi kepercayaan penduduk, Tuluhong merantau dan berkahwin dengan seorang gadis di sini sebelum menghembuskan nafas terakhir di kampung ini,” kata Sikinor.


TULUHONG memiliki ketinggian luar biasa dikatakan mampu memetik buah bulunu tanpa penjolok. FOTO Recqueal Raimi

Menurutnya, selain menjadi pahlawan, Tuluhong banyak membantu penduduk Kampung Namadan dalam kegiatan bertani, memburu binatang serta menangkap ikan.

“Setiap kali aktiviti menangkap ikan iaitu Magasak atau mengeringkan air sungai diadakan, kerja menjadi mudah apabila Tulohong hanya menggunakan dua kakinya menghalang arus sungai mengalir sementara semua penduduk hanya memungut ikan.

“Buah Bulunu yang hanya jatuh dinantikan penduduk atau dijolok, lebih mudah didapati apabila Tulohong hanya memetik buah itu,” katanya.

Sikinor yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens (SMKTFS), Kiulu menunjukkan kedudukan Tuluhong yang disemadikan dalam keadaan mencangkung.

“Disebabkan mahu menjimat tenaga, penduduk zaman dahulu menyemadikan Tulohong di kubur yang kedudukannya berbentuk huruf L secara sisi dan setiap penghujung atau bucu ditandakan batu sungai yang dicucuk secara menegak,” katanya.


KEDUA-DUA kaki Tuluhong menghalang arus sungai membolehkan penduduk menangkap ikan. FOTO Recqueal Raimi

Menurut Sikinor, kedudukan tapak kubur di Kampung Namadan dua kilometer (km) dari Jalan Kiulu-Tamparuli, Sekolah Kebangsaan (SK) Malangang Baru, memerlukan pengunjung meniti jambatan gantung untuk menyeberangi Sungai Tuaran.

Pengunjung boleh menggunakan kenderaan empat roda hingga destinasi menggunakan jalan tidak berturap dari pekan Tamparuli melalui Jalan Lama Ranau sebelum melintasi beberapa kampung sejauh 15 km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 5:30 AM