FOTO hiasan. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Tasnim Lokman
tasnim@nst.com.my

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika ini disiasat berhubung kes jenayah pecah amanah.

Semua ahli lembaga pengarah sedia ada dan penyandang terdahulu dijangka dipanggil memberi keterangan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk merungkai kes kehilangan peruntukan dana terlebih bayar cukai pendapatan berjumlah RM14.56 bilion.

Individu lain yang dijangka dipanggil memberi keterangan berhubung kehilangan dana yang sepatutnya dipulangkan kepada 1,653,786 pembayar cukai itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Mohd Irwan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun dalam Kementerian Kewangan yang sepatutnya memikul tanggungjawab untuk memperuntukkan dana mencukupi menerusi Tabung Amanah Bayaran Balik Cukai (TBBC) seperti digariskan LHDN bagi membantu proses berkenaan.

Kekurangan aliran bayaran balik daripada pendapatan cukai langsung yang dikumpulkan dalam TBBC dikenal pasti sebagai punca lambakan tunggakan bayaran balik cukai.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan kes terbabit dijalankan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pada Rabu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, mendedahkan satu lagi skandal penyelewengan wang pembayar cukai pendapatan didalangi kerajaan terdahulu.

Guan Eng dilaporkan berkata, kerajaan terdahulu gagal menjelaskan lebihan bayaran balik cukai pendapatan dan Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT) membabitkan RM16.046 bilion setakat 31 Mei 2018.

Katanya, lebih 1.6 juta pembayar cukai itu termasuk syarikat, individu, persatuan dan yayasan. Ia merangkumi rekod selama enam tahun lalu.

“Pemalsuan nilai dalam akaun dan penyelewengan bayaran balik cukai ini sama ada untuk tujuan tertentu atau sekadar menutup defisit sebenar demi memperlihatkan wujudnya keadaan lebihan akaun.

“Bayaran balik cukai hanya boleh dibuat menggunakan baki TBBC, namun semakan setakat 30 Mei 2018 berdasarkan Jabatan Akauntan Negara mendapati ia hanya mempunyai RM1.486 bilion, iaitu sangat rendah jika dibandingkan dengan RM16.046 bilion seperti diperlukan proses berkenaan.

“Oleh itu, jelas bahawa RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama,” kata Guan Eng.

Sehubungan itu, Guan Eng mempersoalkan kesahihan perangkaan hasil Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang bukan sekadar tidak tepat, malah terlebih lapor.

Susulan pendedahan itu, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai dengan kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan set-off sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai pada tahun semasa.

Berdasarkan peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967, langkah itu hanya terpakai untuk taksiran tahun semasa.

Kerajaan turut mendedahkan bahawa bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dijelaskan dalam tempoh dua minggu seperti diperuntukkan undang-undang, masih tertunggak daripada 2015.

Guan Eng dalam ucapannya di Dewan Rakyat bagi Bacaan Kali Kedua pembentangan Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 mendedahkan, masalah tunggakan bayaran balik cukai input GST berjumlah RM19.397 bilion kepada 121,429 syarikat dan individu sejak 2015 diakibatkan oleh kegagalan Kerajaan Persekutuan lama memindahkan wang yang mencukupi untuk Tabung Bayaran Balik GST.

Sementara itu, jurucakap LHDN ketika menjelaskan mekanisme off-set atau timbal balik berkata, penyelesaian alternatif terhadap bayaran balik terhadap mana-mana pembayar cukai yang mempunyai tuntutan hutang dengan lembaga itu boleh memindahkan ‘kredit’ mereka kepada ahli keluarga dengan kemungkinan mempunyai tunggakan.

“Apa yang mereka perlu lakukan ialah hanya failkan permohonan. Jika pembayar cukai tidak perlukan bayaran balik, mereka boleh memohon supaya ia (kredit) dijadikan timbal balik bagi taksiran akan datang,” katanya.

Berdasarkan piagam pelanggan LHDN, bayaran balik (sekiranya wujud) untuk pengisytiharan cukai menerusi dalam talian dibuat dalam tempoh 30 hari. Ia memerlukan 90 hari jika dilaksanakan secara manual.

Bagaimanapun, Mohd Irwan dan beberapa Ahli Lembaga LHDN gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:47 AM