PENDUDUK kampung memenuhi Pantai Teluk Kalong untuk mengetahui perkembangan operasi mencari dan menyelamat tiga penuntut yang dikhuatiri lemas. Gambar kecil, Shahir Aqil Shahrun. FOTO Rosli Ilham
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


MAYAT pertama dari tiga mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong, Kuala Terengganu, semalam, ditemui 4.30 pagi tadi.

Mayat penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Ibrahim, Johor, Shahir Aqil Shahrun, 19, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 500 meter dari Pos Kawalan Bomba di pesisir pantai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Mohamad berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas keluarga mangsa membuat pengecaman.

"Operasi SAR dua lagi mangsa di laut diteruskan sejak 7 pagi tadi, dengan kekuatan seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kijal; Kemaman dan Chukai.

"Operasi di kawasan laut pagi ini diperluaskan sehingga dua kilometer dan turut mendapat bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya ketika dihubungi pagi ini.

Dalam kejadian 6.20 petang semalam, Shahir Aqil dari Gong Pauh, di sini, bersama dua lagi rakannya, Khairil Ikmal Danial Zamzuraidi, 19, dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, dari Taman Geliga Permai di sini, dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Khairil Ikmal ialah penuntut Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Kok Lanas, Kelantan dan Ahmad Daniel Firdaus adalah penuntut Diploma Kulinari Universiti MSU, Kuala Lumpur.

Semua mangsa datang ke pantai berkenaan 5 petang semalam untuk mandi bersama empat lagi rakan lain, sebelum mereka dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan antara satu sama lain selepas ombak kuat dan air pasang.

Berita berkaitan

Tiga sahabat hilang di laut

[UPDATE] Terkilan gagal selamat rakan

[UPDATE] Ya Allah, semoga anakku selamat...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 8:46 AM