NURUL Shazlina ketika menyediakan barangan sumbangan untuk diserahkan kepada pelarian di Warsaw, Poland. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.m

mahaizura@hmetro.com.m

Kuala Lumpur: Ketika kebanyakan penuntut luar negara gemar mengisi cuti semester dengan melancong, Nurul Shazlina Yazis, 22, pula selesa memenuhi masa lapang dengan menyertai kerja kesukarelawanan.

Semangat membara membantu golongan kurang bernasib baik membuatkan gadis ini tidak lelah menyertai empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam satu masa.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, University of Birmingham, United Kingdom itu mahu terus mengisi masa mudanya dengan mengembara untuk berbakti kepada masyarakat.

Katanya, tuntutan tugas sebagai penuntut universiti serta memegang dua jawatan penting sebagai Naib Presiden Platform Siswa Islam Malaysia (PRiSM) UK dan Bendahari Muslim Care Eropah menyemarakkan semangatnya untuk menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.


NURUL Shazlina. FOTO NSTP

“Bukanlah niat saya menyertai kerja kebajikan untuk mendapatkan pujian namun saya yakin hidup kita ini memainkan peranan dalam diri orang lain kerana rezeki untuk dikongsi bersama.

“Saya suka meletakkan sepenuh hati dan tenaga dalam menjalankan sesuatu misi kerana saya mahu meringankan beban mereka.

“Rasa sayang yang menebal dalam dunia sukarelawan ini juga membuatkan saya tidak pernah kenal erti penat, malah sudah pasti semua ini dapat dicapai melalui pembahagian masa yang betul kerana saya juga tidak mahu pelajaran tercicir,” katanya.

Menurutnya, antara cabaran pernah dilalui sepanjang aktif sebagai sukarelawan sejak 2014 ialah masalah bahasa ketika menyantuni pelarian Chechnya di Warsaw, Poland.


NURUL Shazlina aktif dalam kerja kesukarelawan di luar negara dan Malaysia melalui pertubuhan PRiSM UK. FOTO NSTP

“Sebenarnya agak susah untuk saya berkomunikasi dengan mereka disebabkan perbezaan bahasa, namun itu tidak menjadi halangan bagi saya terus membantu atas dasar kemanusiaan dan persamaan kita sebagai saudara Muslim.

“Ketika di sana, kami banyak menggunakan bantuan Google Translate untuk berkomunikasi dengan mereka.

“Senyuman mereka menggembirakan hati saya, malah sampai sekarang, saya masih berhubung dengan salah seorang pelarian itu,” katanya.

Menurutnya, dia mahu menjadikan dirinya sebagai penggalak anak muda supaya mengambil peduli realiti kehidupan masyarakat kurang bernasib baik di seluruh dunia.

“Untuk misi seterusnya, PRiSM merancang melaksanakan misi ke Bosnia dan di bawah OUTBOX Malaysia sedang berjalan kempen mengumpul dana untuk projek Sekolah Impian Kandal di Kemboja.

“Saya akan terus menginspirasikan belia di luar sana untuk sama-sama menyumbang bakti ke jalan kebajikan,” katanya.


NURUL Shazlina beramah mesra dengan penduduk sebuah kampung di Pulau Banggi, Kudat, Sabah. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 9:26 AM