GAMBAR diambil daripada video menunjukkan operasi menyelamatkan Sajitha. Gambar kanan, Sajitha dan bayinya. FOTO Indian Navy
Agensi

Kerala (India): Mimpi ngeri seorang wanita yang mengalami sakit bersalin apabila terperangkap atas bumbung rumahnya ketika banjir di Kerala berakhir selepas dia sempat diselamatkan menggunakan helikopter sebelum melahirkan anak lelaki tidak sampai 30 minit kemudian.

NDTV melaporkan, Sajitha Jabil, 25, diselamatkan di kampungnya di Aluva, Ernakulam, iaitu antara tempat yang paling teruk terjejas akibat banjir di Kerala yang setakat ini dilaporkan meragut 324 nyawa.

Video dikongsikan tentera laut India menunjukkan wanita itu diselamatkan menggunakan abah-abah dengan juruterbang helikopter berkenaan turut dipuji kerana berjaya memastikan pesawatnya stabil sepanjang 30 minit operasi berkenaan, demi keselamatan Sajitha dan bayinya.

AFP memetik Komander Vijay Verma yang mengetuai misi itu berkata: “Keadaan memang amat mencabar kerana wanita itu sudah pecah tuban. Kami bergegas mencarinya dengan disertai seorang doktor sebaik menerima panggilan kecemasan.”

Sementara itu, Hindustan Times melaporkan jurucakap tentera laut berkata di Twitter bahawa Sajitha dan anaknya dalam keadaan sihat.

Kerala, destinasi pelancongan popular dibadai hujan lebat luar biasa pada musim monsun tahun ini. Kira-kira 60 helikopter tentera dan pengawal pantai selain ratusan bot mencari mangsa terkandas di seluruh negeri itu.

Menurut tentera, puluhan ribu orang berjaya diselamatkan sejak seminggu lalu, namun ribuan lagi dikhuatiri masih terperangkap.

Dalam satu lagi kejadian, AFP melaporkan seorang juruterbang berjaya menyelamatkan 26 orang dari bumbung sebuah rumah di Kochi, hanya dua hari selepas menerima pingat kerana menyelamatkan nelayan ketika siklon Ockhi melanda, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 4:32 AM