Nor Ashima Ramli atau lebih dikenali Baby Shima. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PENGSAN di atas pentas program realiti Big Stage baru-baru ini menjadi bukti penyanyi yang kini semakin mencipta nama di Indonesia, Baby Shima bersungguh-sungguh mahu menempatkan diri dalam industri muzik tempatan.

Hendak diikutkan dengan perkembangan kerjaya seninya yang berkembang baik di negara seberang, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli ini tidak perlu bersusah payah memikirkan kerjayanya di sini.

Bagaimanapun, Shima yang memulakan langkah bersama KRU Music menegaskan, walaupun kini dikenali di Indonesia, dia tetap mahu mencipta nama di negara sendiri.

Shima ketika ditemui berkata, mengikut perancangan awal dan melihatkan jadualnya yang begitu padat di Indoensia, tidak mungkin dia dapat menjayakan program Big Stage.

“Bagaimanapun, apabila Astro sendiri mahu saya terbabit dalam program itu, saya melihatnya dari sudut positif. Ia menjadi peluang untuk saya memperkenalkan bakat kepada peminat di sini,” katanya.

Shima berkata, ketika dipelawa menjalani sesi uji bakat, pihaknya sudah memberitahu jadualnya begitu padat. Malah, setiap Sabtu jadualnya untuk mengadakan persembahan di Indonesia penuh.

Maksudnya, dia hanya boleh pulang ke Kuala Lumpur pada Ahad untuk menjayakan Big Stage yang berlangsung pada hari sama.

“Pihak produksi bersetuju asalkan saya dapat datang awal pada Ahad bagi membolehkan mereka melakukan raptai penuh untuk saya sebelum malam persembahan berlangsung,” katanya.

Menceritakan kembali insiden jatuh pengsan di atas pentas Ahad lalu, Shima berkata, doktor mengesahkan dia mengalami kekurangan gula dan air dalam badan. Ia berpunca akibat kepenatan dan tidak cukup rehat.

“Pada hari persembahan saya sudah buat sehabis baik, tetapi pada malam sebelum itu saya sudah beritahu terasa pening.

“Malam sebelum persembahan saya sempat makan ubat dan rasa pening berkurangan. Saya nak berehat pun tidak sempat kerana tepat jam 6 petang sudah perlu bersiap untuk persembahan pada sebelah malam,” katanya.

Shima menyedari faktor penat menjadi punca dia jatuh pengsan, tetapi dia tidak punya pilihan. Dia perlu berkorban demi kerjaya seni dan peminat.

“Mengambil contoh minggu ini saya ada dua persembahan persembahan di Jakarta selain perlu menjayakan program TV di sana. Sabtu ini (hari ini) saya akan menjayakan persembahan di Semedang yang perjalanan pergi balik menaiki kereta mengambil masa 14 Jam.

“Esoknya saya akan ke Kuala Lumpur dan terus ke Shah Alam untuk raptai Big Stage. Saya sekarang ini memang menetap di Jakarta,” katanya.

Shima berkata, dengan jadual yang cukup padat dia memang berdepan risiko.

Bagaimanapun, dia tidak mungkin dapat menolak untuk tidak mengadakan persembahan di Indonesia yang sudah diatur lebih awal.

Shima terpaksa melakukan pengorbanan besar ini kerana bimbang dengan kebanjiran ramai penyanyi baru, namanya akan dilupakan.

Sebaik tamat kontrak dengan KRU Music, tidak ada syarikat rakaman melamarnya sehinggalah dia berusaha sendiri untuk bertahan dalam industri muzik.

Melihat tiada perubahan pada kerjaya seni di sini, Shima menyahut cabaran apabila ada yang menawarkannya untuk menyertai program realiti D’Academy Asia musim ketiga di Indonesia.

Walaupun tersingkir di peringkat suku akhir, disebabkan insiden ditegur juri Mas Idayu dengan tagline ‘mummy happy’ menjadi viral, Shima terus dikenali dan rezeki menyebelahinya apabila ditawarkan kontrak oleh syarikat rakaman Indonesia, Nagaswara.

Shima berkata, disebabkan dia tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, pengurusnya membuat keputusan menerima tawaran bertanding di Big Stage.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya program Big Stage, peminat akan dapat menonton persembahan saya. Cara itu juga saya mengharapkan peminat di sini tidak akan melupakan saya. Ia juga membuktikan saya tidak pernah melupakan peminat di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 3:30 AM