GAMBAR hiasan
BERNAMA

SEBUAH bank susu ibu yang mengikut piawaian antarabangsa buat kali pertama bakal diwujudkan di Hospital Tu Du, Bandaraya Ho Chi Minh, kata Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Perbandaran, Prof Madya Dr Tang Chi Thuong.

Ia dijadual dibuka pada suku pertama tahun depan, dengan kerjasama FHI 360, sebuah pertubuhan pembangunan manusia, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Hospital Tu Du adalah hospital obstetrik dan ginekologi terkemuka di bandar itu, mengendalikan kira-kira 66,000 kes kelahiran setiap tahun, termasuk ratusan bayi pramatang yang terpaksa diberi susu formula kerana kekurangan susu ibu.

Justeru, penubuhan bank susu ibu dicadangkan pada 2016, dengan harapan dapat menyediakan susu ibu yang sudah pasti selamat dan berkhasiat bagi membantu menyelamatkan bayi berisiko.

Thuong berkata, ia akan beroperasi serta dikendalikan dengan peraturan ketat dan mengikut piawaian antarabangsa.

Diharapkan bank susu itu akan menjadi perintis agar lebih banyak lagi dapat diwujudkan di rantau tersebut dan di seluruh dunia, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 8:25 PM