ANTARA barangan kesihatan tidak berdaftar. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Mudahnya mengaut untung apabila ramai pengguna terpedaya dengan ‘koyok magik’ kononnya mampu menguruskan badan dalam tempoh singkat tanpa perlu bersenam atau mengamalkan diet pemakanan.

Koyok diimport dari luar negara itu didakwa boleh mengurai lemak dalam tubuh sehingga berpuluh kilogram dalam tempoh amat singkat.

Lebih aneh apabila si pemakai hanya perlu menampal koyok itu pada tubuh ketika tidur untuk mendapatkan hasil diharapkan.

Selain itu tidak kurang juga pengguna yang teruja dan menggunakan sabun istimewa didakwa mampu membesarkan payudara dalam tempoh singkat selain cecair serum yang boleh membakar lemak.

Semua produk ini adalah antara barangan kesihatan tidak berdaftar yang dikesan berlegar di pasaran dan hanya dijual melalui dalam talian kepada pengguna.

Kebanyakan pengguna jelas mudah ditipu melalui testimoni disebarkan pihak pengedar melalui media sosial tanpa merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Susulan kewujudan pelbagai produk tidak berdaftar dan diragui kandungannya itu, sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya KKM melakukan serbuan di sebuah premis di Sri Permaisuri di sini, semalam.

Serbuan dilakukan susulan risikan mendapati premis itu mengimport dan menjual pelbagai jenama produk kesihatan tidak berdaftar melalui media sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Zainudin Abdul Wahab berkata, operasi bertujuan memerangi lambakan produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar di pasaran serta dijual melalui dalam talian.


ANGGOTA penguat kuasa merampas kotak yang mengandungi koyok import. FOTO NSTP

“Kebanyakan kosmetik tidak bernotifikasi dan produk kesihatan ini diragui keberkesanannya berikutan pelbagai dakwaan testimoni tidak munasabah disebarkan.

“Hasil serbuan dilakukan di premis tiga tingkat itu, pihak CPF merampas enam jenis produk tidak berdaftar di premis yang dijadikan stor,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan semua produk dirampas dianggarkan mencecah hampir RM500,000 dan rampasan itu disiasat mengikut peraturan 30(1) dan 18A(15) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh membawa hukuman mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952,”

Beliau menasihatkan orang awam tidak menggunakan produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang di npra.moh.gov.my / atau hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

“Selain itu, orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan bagi produk yang meragukan di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di laman web www.pharmacy.gov.my atau moh.spab.gov.my atau di talian 03-78413200,” katanya.

Pihak CPF mendapati ada syarikat jualan produk atau kosmetik tidak berdaftar tidak takut mengulangi kesalahan sama meskipun sebelum ini pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana disebabkan memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 9:55 AM