GAMBAR kenangan, Mohd Kaharuddin (kanan) bersama isterinya (dua kiri) yang meninggal dunia.
Mohd Amin Jalil
cnews@nstp.com.my


“Saya hanya sempat berada di sisinya buat beberapa jam sahaja selepas dibenarkan pulang,” kata penjaga gol skuad Liga Super Negeri Sembilan, Mohd Kaharuddin Abdul Rahman, 27, yang kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, dia ke rumah ibunya petang Ahad lalu kerana terpaksa menjaga anak sulung berusia tiga tahun.

"Namun kami sempat berbalas WhatsApp sehingga 1 pagi. Namun saya terkejut isteri sudah menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 4 pagi," katanya.

Pemain berpengalaman itu kehilangan anak keduanya yang baru dilahirkan Jumaat lalu di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban, manakala isterinya, Norfaizah Abdul Manap, 26, meninggal dunia, pagi Isnin lalu di rumah ibunya di Taman Seri Pagi, Senawang.

Mohd Kaharuddin berkata, anak keduanya itu meninggal dunia pada 9 malam Jumaat lalu selepas kira-kira 40 minit dilahirkan di HTJ, disebabkan ada jangkitan pada paru-paru.

Katanya, selepas melahirkan bayi berkenaan, isteri dilihat dalam keadaan sihat dan dibenarkan pulang ke rumah ibunya di Senawang, petang Ahad lalu.

"Tak sangka dia pergi untuk selama-lamanya," katanya di Seremban, hari ini.

Mohd Kaharuddin yang enggan bercakap panjang kerana masih bersedih, reda dengan apa yang berlaku kerana sudah ditentukan oleh Allah SWT.

Namun dalam Instagramnya, penjaga gol itu sempat menitipkan rasa rindu yang terpendam dalam hatinya dengan mengatakan antaranya ketika dia sedang memejam mata, sedang makan, bangun tidur, lihat anak pertamanya pasti akan ternampak bayangan isterinya.

"Pejam mata nampak awak (isteri), bukak mata nampak awak, tengok anak nampak awak, makan nampak awak..urmm," kata Mohd Kaharuddin dalam Instagramnya.

Dalam mesej yang lain pula, Mohd Kaharuddin turut meluahkan rasa sedihnya dengan mengatakan antaranya "rindu yang tiada penghujungnya,... Subnallah, di saat anak baru lelapkan mata, di saat itulah aku terlalu rindukanmu sayang, saya reda yang

penting awak bahagia kat sana bersama anak kita Sumayyah... saya harap suatu hari nanti awak pula menjemput saya bersama-sama.

Sementara itu, Pengurus pasukan berkenaan, Datuk Mohamad Najeeb Abdullah berkata, beliau bersama pegawai dan pemain pasukan itu sudah menziarahi Mohd Kaharuddin dan memberi sokongan moral susulan menerima dugaan berat dalam tempoh singkat.

Menurutnya, pihaknya sendiri berasa simpati terhadapnya dan berharap dia dapat bersabar dalam menghadapi ujian berkenaan.

"Kami bersama Mohd Kaharuddin sehingga selesai majlis pengebumian arwah isterinya di Senawang.

"Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), saya mengucapkan takziah kepada Mohd Kaharuddin," katanya.

Kapten Negeri Sembilan, Mohd Fauzan Dzulkifli berkata, dia dan rakan dalam pasukan melahirkan rasa simpati kepada Mohd Kaharuddin di atas kehilangan insan tersayang.

"Ketika kami hadir bersama rakan sepasukan bagi menziarahi pemergian isterinya pada Isnin lalu, Mohd Kaharuddin kelihatan sebak dan sayu.

"Saya dapat lihat dia masih terkejut dengan kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh singkat," kata pemain pertahanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 8:28 PM