PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, ketika menjadi iman solat Maghrib di Lombok Utara, kelmarin. - Facebook Jokowi
Agensi

MATARAM: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengunjungi Lombok yang dilanda gempa bumi kelmarin, termasuk Kecamatan Gangga di Lombok Utara, kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 370 kematian dicatatkan.

Menurut laporan media Indonesia, dalam lawatannya, Jokowi berbual dan berdialog dengan penduduk sebelum mengimamkan solat Maghrib dalam surau sementara bersama-sama penduduk yang menjadi mangsa gempa bumi.

“Solat Maghrib bersama penduduk dalam surau darurat yang berbumbung kanvas dan berdinding plastik,” tulis Jokowi dalam Facebooknya, semalam.

Menurut Liputan 6, kanvas sebagai bumbung madrasah itu disangga dengan buluh manakala tikarnya juga kanvas dengan karung plastik sebagai dinding.

Jokowi mengimamkan solat, manakala Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Marsekal Hadi Tjahjanto, berada di saf kedua bersama penduduk.

Jokowi yang diiring Gabenor dan Ketua Polis Nusa Tenggara Barat serta Panglima TNI melawat dapur di pusat penempatan sementara dan hospital lapangan di Lombok Utara.

Sehingga semalam, Jokowi masih berada di Lombok meninjau beberapa kawasan yang teruk terjejas.

Dalam catatannya di FB, Jokowi berkata, lebih 60,000 rumah rosak dan beliau mengumumkan bantuan 50 juta rupiah kepada mangsa yang rumah mereka rosak teruk, manakala yang kerosakannya sederhana, 25 juta rupiah.

Menurutnya, penduduk akan bergotong-royong membina dan membaiki rumah dengan spesifikasi tahan gempa bumi dengan bantuan Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat.

Menurutnya, rumah penduduk akan dibangun semula menggunakan kaedah pembinaan pasang siap RISHA (Rumah Segera Kos Sederhana) yang sudah ratusan ribu unit dibina di 60 wilayah negara itu, termasuk 10,000 unit di Aceh. - Agensi

Menurutnya, rumah RISHA dan sekolah pasang siap yang sudah dibina di Lombok ternyata tahan gempa bumi kerana semuanya selamat selepas gempa bumi 6.9 magnitud melanda Lombok 5 Ogos lalu. - Agensi

15hmkowi2

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, ketika menjadi iman solat Maghrib di Lombok Utara, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 10:02 AM