Rafizi dedahkan bahawa Mohamed Azmin bukan pilihan PKR sebagai anggota Kabinet.
Rohaniza Idris dan Syed Umar Ariff
cnew@nstp.com.my


TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu meletakkan jawatan menteri sekiranya kalah dalam pemilihan PKR bulan depan kerana pelantikannya itu tiada kaitan dengan kedudukan dalam arti.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah jawatan dalam kerajaan yang tidak ada kena mengena dengan parti.

Katanya, pelantikan seseorang sebagai menteri adalah melalui dua saluran iaitu dicadangkan parti hasil rundingan dalaman dan pilihan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas budi bicaranya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak nampak apa saja keputusan dalam pemilihan PKR nanti akan menyebabkan Mohamed Azmin perlu mengundurkan diri dari jawatan Kabinet. Saya juga tidak nampak kenapa PKR kena berkeras menyuruh beliau meletakkan jawatan dan saya tidak rasa Perdana Menteri mengambil ketetapan meminta beliau meletak jawatan. Ini tidak akan berlaku.

“Dr Mahathir yang melantik Mohamed Azmin atas budi bicaranya sedangkan namanya tiada dalam senarai parti, mana mungkin beliau akan diminta meletakkan jawatan,” katanya kepada NSTP dalam sesi wawancara khas sempena pemilihan PKR di pejabatnya, Jumaat lalu.

Beliau ditanya sama ada Mohamed Azmin perlu meletakkan jawatan sekiranya kalah pada pemilihan parti itu.

Pada pemilihan PKR kali ini Rafizi mencabar Mohamed Azmin yang mempertahankan kerusi Timbalan Presiden.

Pencalonan bekas Ahli Parlimen Pandan itu satu tamparan kepada Mohamed Azmin yang kini dilabelkan sebagai orang Dr Mahathir .

Rafizi berkata, perlu adanya pemisahan antara parti dan kerajaan, budaya itu perlu dihapuskan supaya kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan kerajaan yang terdahulu.

Pada pandangannya, kerajaan serta hal parti perlu diasingkan dan ini perlu diterima dalam kerajaan Malaysia baharu ini.

“Jika tidak dipisahkan nanti timbul budaya seperti UMNO yang melantik ‘macai’ mereka dalam kerajaan selepas menang pertandingan dalam parti sedangkan orang itu tidak layak memegang jawatan, nanti rakyat akan menilai kita sebagai tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Ditanya mengenai peluang beliau untuk menang berikutan Mohamed Azmin dilabelkan orang Dr Mahathir dan berada dalam kerajaan Rafizi berkata, persepsi itu timbul kerana pelantikan Mohamed Azmin sebagai menteri bukannya dicadangkan kepimpinan parti.

Katanya, parti mahukan Mohamed Azmin menumpukan kepada Kerajaan Selangor tetapi beliau dipilih atas budi bicara Perdana Menteri dilantik sebagai menteri.

“Justeru, wujud persepsi yang mengaitkan beliau dengan Dr Mahathir dan perkara ini tidak boleh dielakkan untuk diperkatakan ahli akar umbi.

“Adakah itu kebaikan atau bebanan kepada Mohamed Azmin? Isu ini wujud kerana persepsi saja dan ia menjadi salah satu perkara yang dinilai anggota parti dalam pemilihan kali ini. Ini semua soal persepsi. Biarlah mereka yang membuat keputusan,” katanya,

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 4:43 PM