Abam mahu turunkan hingga mencapai sasaran 100 kilogram. FOTO SAIRIEN NAFIS
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAWAK, Abam Bocey tidak akan berhenti turunkan berat badannya sehingga mencapai sasaran 100 kilogram (kg).

Abam, 29, berkata dia sudah puas berbadan besar malah inginkan perubahan pada fizikalnya selain tidak mahu digelakkan lagi.

“Saya diterima ramai orang gelakkan saya disebabkan berbadan besar. Namun sampai bila saya mahu digelakkan sebab badan saya?

“Sudah sampai masanya untuk saya melakukan penghijrahan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Seperti kerjaya juga, kita kena ada usaha untuk melakukan perubahan.

“Selepas hampir empat bulan, saya berjaya turunkan 30 kg daripada berat asal 188 kg. Saya sasarkan mencecah 100 kg kemudian beralih kepada fasa lain untuk dapatkan bentuk badan lebih menarik,” katanya.

Abam tidak menafikan ramai memintanya untuk mengekalkan bentuk badan sekarang disebabkan itulah punca rezekinya.

“Saya akui ramai yang cakap ‘market’ saya akan jatuh sekiranya saya turunkan berat badan. Mereka cakap saya cuma diterima dan dapat tawaran kerja hanya disebabkan berbadan besar.

“Tapi, saya percaya apa juga perubahan dibuat bukan penentu kepada rezeki. Kalau rezeki itu sudah tertulis, ia pasti akan datang.

“Impian saya sekarang adalah untuk menjadi inspirasi kepada golongan berbadan besar untuk turunkan berat badan,” katanya.

Abam ditemui sewaktu menjayakan program Jom Kurus 1 Malaysia (JK1M) menerusi cabaran Pertandingan Dodgeball Selebriti JK1M baru-baru ini.

Pada cabaran itu, kumpulan Abam muncul juara daripada 16 kumpulan yang berentap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 3:38 PM