PETIKAN rakaman video menunjukkan monyet yang dicekik oleh gadis yang tular di media sosial.
Wartawan NSTP

Kuala Lumpur: Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sedang menyiasat video tular seorang gadis memukul dan mendera seekor monyet peliharaan.

Melalui rakaman berdurasi 15 saat itu, gadis terbabit dilihat menepuk dan menampar kepala monyet berkenaan berulang kali. Malah gadis berusia 20-an itu mencekik leher haiwan itu seolah-olah mahu melepaskan geram.

Monyet itu dipercayai menjadi haiwan peliharaan berikutan terdapat tali biru dipasang pada leher haiwan berkenaan.

Tindakan gadis itu mendapat kecaman nitizen yang menganggap perbuatannya keterlaluan dan sengaja menyeksa binatang.

Malah jawapan gadis terbabit mendakwa ia sekadar gurauan terhadap haiwan peliharaannya itu turut tidak dipersetujui ramai individu dalam kalangan pencinta haiwan.

Tidak kurang yang menasihati gadis terbabit menjalani rawatan Psikiatri dan Kesihatan Mental.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya memandang serius perbuatan gadis terbabit yang sengaja memukul haiwan peliharaan.

“Siasatan dilakukan bagi mengenal pasti identiti gadis yang menjadi viral itu.

“Dia boleh dianggap melakukan kezaliman dan boleh didakwa mengikut mengikut Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 9:43 AM