Noorkhiriah Ahmad Shapie
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata ada kalanya memakan diri.

Itulah yang berlaku kepada dramatis Noorkhiriah Ahmad Shapie, 42.

Ia berikutan keputusan yang pernah dibuatnya lebih setahun lalu apabila mahu bersara dari bidang lakonan.

Ujar Noorkhiriah, ketika itu keputusan dibuat atas rasa kecewa dan kecil hati.

Ditemui pada sesi fotografi barubaru ini, anak jati Raub, Pahang itu memberitahu dia terlalu mengikut perasaan.

“Pada masa itu, saya dalam keadaan tidak tenang kerana asyik melayan rasa kecewa yang bersarang di hati dan berasakan ketidakadilan berlaku.

“Bagaimanapun, selepas muhasabah diri saya akhirnya berjaya buang jauh semua perasaan negatif itu.

“Belajar daripada kesilapan itu, saya jadi lebih matang.

Syukur, saya kini lebih tenang,” katanya.

Mengakui cintanya terhadap lakonan tidak pernah pudar, Noorkhiriah berkata kanvas seninya kini cuba dilakar dengan aura positif.

Berasakan peluang ‘kemunculan semulanya’ datang pada masa tepat, Noorkhiriah gembira menjayakan karya yang baik.

“Walaupun watak Aisyah lakonan saya dalam dram a Nur arahan Shahrulezad Mohameddin pada Ramadan lalu antagonis, ia sangat berbaloi.

“Saya dibenci dan dikecam penonton tetapi impak drama itu dalam karier saya sangat besar.

“Terus terang, saya tidak menduga berpeluang beraksi dalam naskhah yang sarat dengan pengajaran,” katanya.

Bergandingan dengan Azhan Rani dalam drama yang mengangkat isu ‘penunggang agama’ itu, Noorkhiriah sekali lagi mengucap syukur.

Jelasnya, dia sama sekali tidak menyangka gandingan itu berjaya mencetuskan fenomena.

“Sekarang, pembabitan saya dalam lakonan bukan mahu mengejar popular, tetapi cukuplah mendapat karya yang baik.

“Dalam soal ini, saya akui agak memilih kerana biarlah sesekali kemunculan itu membawa impak.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Azhan kerana kami berjaya menjadi gandingan serasi pada usia senior,” katanya.

Selepas drama Nur di TV3, gandingan Noorkhiriah dan Azhan diteruskan dalam drama radio Cinta Sup Bunjut di Kool FM pula.

Namanya yang kini sering

dikaitkan dengan ‘sup bunjut’, Noorkhiriah berkata, itu juga satu rezeki.

Ujarnya, apabila difikirkan semula terasa kelakar, tetapi perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.

“Saya hanya mampu melafazkan rasa syukur. Apa yang Allah berikan ini perlu saya hargai dan syukuri,” katanya.

MAHU ANAK ANGKATPEREMPUAN

Bertemu jodoh dengan lelak i pilihannya, Asfaidzul Atan kira-kira 12 tahun lalu, Noorkhiriah akui hidupnya sudah lengkap.

Namun, ibu kepada Muhammad Hudhaifah, 9, dan Muhammad Yusoff, 7, ini memberitahu dia teringin anak perempuan.

“Biarpun dua anak sudah melengkapi hidup saya dan suami, seronok juga kalau ada anak perempuan.

“Dapat jugalah menjadi kawan saya nanti. Bagaimanapun, soal anak rezeki daripada Allah SWT,” katanya.

Menurut Noorkhiriah, dia dan suami sebenarnya bercadang mahu mengambil anak angkat perempuan. Namun, perkara itu belum diputuskan lagi. Ini kerana jadual seninya kini padat dengan penggambaran.

“Untuk ambil anak angkat mudah, tetapi banyak perkara perlu difikir dan diurus dengan teliti.

“Serahkan segala-galanya pada ketentuan Ilahi. Kalau sudah rezeki kami, pasti tak ke mana,” katanya.

Menurut Noorkhiriah, biarpun ibunya di kampung menyokong hasrat murni itu, dia enggan terburu-buru.

Berbicara mengenai karier lakonannya, Noorkhiriah dan Azhan baru-baru ini terbabit dengan rakaman sekuel drama Cinta Sup Bunjut untuk Kool FM.

Ujarnya, tidak sangka daripada 15 episod pihak Kool FM mahu drama itu disambung 15 episod lagi.

“Semuanya jadi 30 episod. Padahal, ia drama radio saja dan tak sangka juga gandingan bersama Azhan masih berbisa.

“Terima kasih kepada semua peminat dan penyokong yang masih menerima lakonan saya dengan baik,” katanya.

Jika dulu, gandingan serasinya di layar ialah pelakon Benjy kini Azhan pula.

Hinggakan ada segelintir peminat memberi jolokan kepada Noorkhiriah dan Azhan sebagai pasangan‘Shah Rukh Khan & Kajol Malaysia’ kedua selepas Alif Satar dan Siti Nordiana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 8:56 AM