IBU tergamak meninggalkan bayi lelakinya berusia lingkungan tujuh hari berseorangan diri di bilik sewa di Taman Tampoi Indah di sini hingga darah dagingnya itu kebuluran dikesan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). FOTO Ihsan JKM
Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu yang tergamak meninggalkan bayi lelakinya seorang diri di bilik sewa di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, pada 8 Julai lalu.

Pelindung Kanak-Kanak JKM Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim berkata, bayi itu dipercayai kebulur sebelum diselamatkan pekerja bahagian pembersihan yang juga kenalan wanita terbabit.

Beliau berkata, mengikut maklumat, pada 5 Julai lalu, ibu bayi berkenaan berusia 20-an bertemu dengan pekerja bahagian pembersihan itu serta bertanyakan berkaitan bilik sewa bagi keluarganya.

Menurutnya, wanita berkenaan bersetuju menyewa bilik sewa di Taman Tampoi Indah pada hari sama dengan sewa bulanan RM250 dan menyatakan akan membuat pembayaran apabila suaminya pulang dari Kuala Lumpur.

Katanya, pada 7.30 petang pada 8 Julai lalu, ketika lelaki itu meninjau bilik sewa berkenaan, dia menemui bayi terbabit dalam keadaan kelaparan dan berseorangan.

“Dia kemudian menjaga bayi itu sementara dengan harapan ibu kandungnya pulang.

“Bagaimanapun, wanita itu gagal menuntut bayinya dan disebabkan kesihatan bayi semakin merosot, lelaki berkenaan mengambil keputusan membawanya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 12 Julai,” katanya.

Zaid Ikhwan berkata, bayi berkenaan mendapatkan rawatan di HSI selama lima hari sebelum Jabatan Kerja Sosial HSI merujuk JKM pada 16 Julai.

“Hasil siasatan, bayi berkenaan ditinggal oleh ibu kandungnya di bilik sewa di Jalan Mawar 3, Taman Tampoi Indah.

“Tiada sebarang maklumat berkaitan ibu bayi diperoleh dan dipercayai bayi itu tidak dilahirkan di hospital awam sekitar Johor Bahru.

“Pegawai perubatan bertugas membuat laporan polis dan seterusnya merujuk kepada pelindung kanak-kanak JKM bagi penempatan sementara,” katanya.

Zaid Ikhwan berkata, bayi itu dinamakan sebagai Eimir dan kini dianggarkan sudah berusia 36 hari, ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak.

Beliau berkata, bayi itu masih mendapat rawatan susulan di HSI berikutan masalah gastrik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. Berikutan tiada sebarang tuntutan, bayi itu ditempatkan di institusi perlindungan JKM mengikut Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai yang memiliki maklumat boleh menghubungi JKM di talian 07-2232606,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 6:25 PM