RAM ketika ditemu bual di bengkelnya. FOTO Rosdan Wahid
Kalbana Perimbanayagam dan Safeek Affendy Razali dan Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: “Penahanan ini (SOSMA) menginsafkan saya. Ternyata ketamakan dan sifat jahat tidak membawa seseorang itu pergi jauh dan ia sangat tidak berbaloi,” ujar bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang mahu dikenali sebagai Ram, 30-an.

Dalam temu bual dengan wartawan Harian Metro, dia yang pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) berpendapat, SOSMA tidak perlu dimansuhkan kerana ia langkah terbaik ‘menakutkan’ dan mendidik penjenayah tidak meneruskan kegiatan mereka.

Lelaki berasal dari Perak itu berkata, kewujudan akta berkenaan membuktikan ia mengurangkan jumlah jenayah sepanjang tempoh beberapa tahun lalu.

“Dalam sesetengah situasi mungkin SOSMA kedengaran keras dan sukar diterima, namun sebagai seorang bekas tahanan. Penjenayah boleh melepaskan diri melalui beberapa kelemahan yang ada dalam sistem perundangan jika akta ini tiada.

“Sebagai contoh, di bawah POCA, mana-mana tahanan yang ada kaitan dengan jenayah tiada peluang bebas. Sebab itu POCA dikawal Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya yang dibebaskan dua tahun lalu.

Ram antara tahanan terawal ketika SOSMA diperkenalkan. Dia ditahan atas kesalahan rompakan bersenjata sebelum disiasat selama 60 hari dan ditahan melalui POCA selama dua tahun atas arahan KDN.

Ram berpendapat akta itu sepatutnya dikekalkan kerana ia menjadi penghalang atau faktor menakutkan individu yang mahu merancang melakukan jenayah.

“Sekiranya ia dibatalkan, banyak penjenayah berprofil rendah tidak teragak-agak melakukan jenayah besar atau serius kerana mereka mungkin cukup bijak untuk tidak meninggalkan apa-apa jejak. Ini menyebabkan mereka sukar ditangkap. Namun dengan adanya SOSMA, mereka tidak berani (melakukan jenayah), “katanya ketika ditemui di bengkel yang baru diusahakan beberapa bulan lalu dengan bantuan ahli keluarga.

Ram kini membuka lembaran baru dalam kehidupannya selepas dibebaskan dan mahu bersama keluarga selain berjanji memberi tumpuan terhadap bengkel barunya itu.

“Saya mungkin tidak dapat untung banyak hasil perniagaan ini kerana ia masih baru, namun saya dan keluarga saya bahagia dan dapat tidur lena setiap malam,” katanya sambil menambah dia pernah bekerja sebagai juruteknik kanan dalam industri automotif sebelum ditahan.

Ram berkata, dia benar-benar menyesal terhadap sikap tamak dan kebodohannya empat tahun lalu untuk mendapatkan wang melalui cara salah dan melanggar undang-undang.

Ketika saya dipenjara, baru saya sedar betapa saya menyusahkan isteri dan ahli keluarga atas tindakan menyertai rakan melakukan rompakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:30 AM